Images

RLAF hulurkan lebih S$447,000 bantu mangsa bencana Kerala, Sulawesi

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyampaikan $447,330 kepada badan kemanusiaan setempat Mercy Relief hari ini (27 Nov) bagi membantu mangsa bencana alam di Kerala, India dan Sulawesi, Indonesia.

Jumlah tersebut adalah hasil kutipan yang dijalankan menerusi dua kempen pengumpulan dana di masjid-masjid di sini.

Kempen pertama pada 28 Ogos hingga 7 September bagi membantu mangsa bencana Kerala manakala kempen dari 3 Oktober hingga 11 Oktober pula bagi mangsa gempa dan tsunami di Sulawesi.

Majlis penyampaian cek diadakan di ibu pejabat Mercy Relief Singapura, yang terletak di Toa Payoh.

BANTUAN TONJOLKAN SIFAT IHSAN MASYARAKAT S'PURA

Banjir yang melanda wilayah Kerala di India merupakan banjir paling dahsyat dalam tempoh hampir 100 tahun.

Sebanyak $84,820 dikumpulkan bagi membantu mangsa banjir di Kerala.

Dianggarkan seramai 445 orang terkorban manakala lebih 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir besar itu.

Cek berjumlah $362,510, pula dikumpulkan bagi meringankan kesengsaraan mangsa gempa bumi serta tsunami di Sulawesi, Oktober lalu.

Pengarah Eksekutif RLAF, Encik Zainul Abidin Ibrahim berkata dana tersebut dengan jelas mencerminkan keprihatinan dan sifat ihsan masyarakat Islam di sini.

"Alhamdulillah dengan kutipan yang kami lakukan untuk Sulawesi dan Kerala, ternyata sekali masyarakat menunjukkan keprihatinan mereka terhadap sengsara masyarakat lain di luar Singapura.

"Kami berbangga kerana sifat Rahmatan lil Alamin terpahat dalam hati masyarakat. Dengan itu kita dapat mengumpul dana yang amat besar untuk Sulawesi khususnya," katanya.

Pengarah Eksekutif Mercy Relief, Nasaruddin Shafawi turut berkata sumbangan tersebut mencerminkan semangat gotong royong masyarakat Islam di sini.

"Kami di Mercy Relief amat berbesar hati dengan sumbangan dari RLAF dan penduduk Singapura. Lebih $400,000 disumbangkan kepada Sulawesi dan Kerala. Jelas, ia menunjukkan sifat ihsan, gotong royong dan keprihatinan terhadap yang memerlukan," katanya.

DANA AKAN TURUT BANTU BIDANG PENDIDIKAN KANAK BENCANA ALAM

Selain membantu membina tempat-tempat tinggal yang sempurna, Encik Zainul menambah dana itu turut akan membantu kanak-kanak mangsa bencana itu menerima pendidikan sewajarnya.

"Kita merasa gembira kerana dengan kerjasama bersama Mercy Relief kita dapat memusatkan bantuan kita dalam bidang pendidikan anak-anak dan juga menyediakan tempat tinggal sementara bagi mereka yang telah hilang segalanya," tambah Encik Zainul lagi.

SUDAH SUMBANG $7 JUTA 

Sejak RLAF ditubuhkan pada 2004, RLAF sudah menghulurkan bantuan bernilai $7 juta dari masyarakat untuk projek bantuan kemanusiaan antarabangsa. 

Selain Kerala dan Sulawesi, RLAF turut menghulurkan bantuan bagi mangsa bencana di Lombok, Laos, Nepal, India dan Bangladesh.

"Sehingga tahun ini kita dapat menyumbang S$7 juta kepada masyarakat di 20 buah negara dan ini kita rasa beruntung sekali kerana walaupun masyarakat kita kecil, kita dapat sentuh masyarakat di sekeliling sana, untuk sama-sama menghulurkan semangat rahmatan lil alaminm," kata Encik Zainul.

- BERITAmediacorp/ur

Top