Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF hulurkan lebih S$440,000 bantu pelarian Rohingya, mangsa banjir Asia Selatan

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) hari ini menghulurkan lebih S$440,000 kepada dua badan kemanusiaan, hasil kutipan dari 70 masjid tempatan dan empat pertubuhan agama. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) hari ini menghulurkan lebih S$440,000 kepada dua badan kemanusiaan, hasil kutipan dari 70 masjid tempatan dan empat pertubuhan agama.

$345,000 didermakan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) demi meringankan kesengsaraan mangsa krisis di Rakhine, Myanmar.

Manakala lagi $95,200 dihulurkan kepada Mercy Relief bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Nepal, India dan Bangladesh.

Sesi penyerahan cek dijalankan di pejabat MUIS siang tadi.

PELARIAN ROHINGYA MASIH KETANDUSAN KEPERLUAN ASAS, SEBAHAGIAN BESAR ALAMI TRAUMA

Krisis Rohingya merupakan antara krisis kemanusiaan paling buruk pernah dialami rantau ini. Lebih daripada 603,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh daripada 25 Ogos hingga 22 Oktober lalu.

Selain daripada mengalami ketandusan keperluan asas seperti makanan, sebahagian besar pelarian Rohingya dari Myanmar ini turut berdepan dengan masalah psikologi seperti trauma, khususnya mereka daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Menurut UNHCR dalam minggu-minggu mendatang, jumlah pelarian krisis tersebut akan meningkat kepada 1 juta orang - bermakna lebih banyak bantuan kemanusiaan akan diperlukan.

$345,000 DIHULURKAN BAGI BANTU KRISIS RAKHINE

Melihat keadaan mendesak itu, Yayasan Rahmatan Lil Alamin menjalankan kempen pengumpulan dana selama seminggu dan berjaya mengumpulkan sebanyak $345,000.

Dana dikumpulkan hasil daripada kutipan tabung-tabung amal yang diletakkan di masjid-masjid tempatan dari 8 hingga 15 September lalu, serta platform online dan cek yang diberikan oleh masyarakat awam.

Selain kutipan di masjid-masjid badan seperti Darul Arqam, Madrasah Aljunied, agama Baha'i dan Persekutuan Buddha Singapura (SBF) juga membantu.

SBF misalnya menyumbang $27,000 kepada usaha tersebut.

"Daripada sumber di UNHCR, iaitu rakan kami di Bangladesh, ia menyatakan bahawa kita (Singapura) merupakan antara penyumbang terbesar di Asia Tenggara ini.

"Jadi, alhamdulillah saya berbangga dengan sifat ihsan masyarakat Singapura yang sentiasa mengambil tahu dan mengambil peduli tentang nasib yang begitu teruk yang dialami oleh masyarakat Rakhine di Bangladesh," kata Encik Zainul Abidin Ibrahim, Pengarah Eksekutif RLAF.

Sumbangan yang diberikan itu akan digunakan oleh UNHCR bagi menjalankan lebih banyak bantuan sokongan kecemasan seperti mendirikan kem-kem perlindungan, bantuan vaksin, penyulingan air dan program pendidikan bagi kanak-kanak Rohingya.

$95,200 TURUT DISUMBANGKAN KEPADA MERCY RELIEF BAGI MANGSA BANJIR ASIA SELATAN

Dalam pada itu, cek bernilai $95,200 turut diberikan RLAF kepada Mercy Relief bagi memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa-mangsa banjir Asia Selatan.

Banjir berlaku di rantau tersebut akibat hujan lebat disebabkan musim monsun tahunan an dianggarkan sebanyak 45 juta orang terkesan daripada banjir tersebut.

Menurut Mercy Relief, sumbangan itu akan membantu membangunkan kembali pertanian mangsa banjir agar ia dapat bertahan pada masa jangka yang panjang.

Bantuan kecemasan lain termasuk menyediakan makanan, tilam dan peralatan tempat tidur.

"Hari ini kita telah membantu lebih daripada 6,000 orang di ketiga negara itu dan atas rakan sokongan seperti RLAF, kami berharap dapat mampu melakukan lebih banyak lagi," kata Cik Zhang Tingjun, Pengarah Eksekutif Mercy Relief.

Sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, RLAF sudah menderma S$5 juta bagi lebih 40 projek kemanusiaan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan