Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RLAF anjur kutipan di semua masjid

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama semua masjid di Singapura sedang menganjurkan usaha mengumpul dana untuk meningkatkan lagi semangat belas ihsan dalam kalangan masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:
RLAF anjur kutipan di semua masjid

Logo Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF). (Gambar: Rahmatan Lil Alamin/ Facebook)

SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama semua masjid di Singapura sedang menganjurkan usaha mengumpul dana untuk meningkatkan lagi semangat belas ihsan dalam kalangan masyarakat. 

Bagi tujuan itu, tabung-tabung derma akan ditempatkan di kesemua 70 masjid pada Jumaat ini (11 Okt).

RLAF mengumumkan dalam satu kenyataan media hari ini (9 Okt) bahawa orang ramai juga boleh menyumbang melalui laman web MUIS https://www.zakat.sg/ePayment/donations.aspx dan aplikasi Muslim.SG app.

Dana yang dikumpulkan itu akan dimanfaatkan bagi mengembangkan lagi keupayaan para belia masjid, madrasah dan pertubuhan-pertubuhan Islam, agar dapat menyokong lebih banyak projek kemasyarakatan.

Ini di samping usaha berterusan RLAF untuk menjalankan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di rantau ini.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, RLAF sudah melatih lebih 400 sukarelawan dalam kerja-kerja pembangunan masyarakat dan kemanusiaan.

RLAF juga menawarkan sokongan geran serta membuka peluang kepada para belia dari masjid, madrasah, ITE, institut pengajian tinggi, pertubuhan-pertubuhan Islam dan NGO untuk menjadi sukarelawan.

Antara projek-projek yang disokong RLAF termasuk projek pemuliharaan alam sekitar yang dilakukan secara bertahap-tahap demi membangkitkan semangat aktivisme dalam kalangan anak muda Singapura.

"Projek-projek ini meninggalkan kesan dalam kehidupan dan memperkukuh daya bingkas masyarakat di Singapura dan juga di rantau ini," tambah RLAF dalam kenyataan medianya.

Sokongan-sokongan yang diberikan oleh RLAF itu membantu menyemai minat, kesungguhan dan kecekapan para belia agar mereka menjadi peran contoh insan-insan bersifat belas ihsan.

Ini sejajar dengan matlamat RLAF untuk menggalak budaya masyarakat penyayang dan bersifat belas ihsan demi kemanusiaan.

"Kami juga mahu membangunkan golongan belia yang lebih cekap yang menyumbang ke arah masyarakat Singapura yang lebih berbaik budi," menurut RLAF lagi.

Sejak ditubuhkan, RLAF sudah membelanjakan lebih S$1.4 juta untuk menyokong lebih 70 projek pembangunan masyarakat dan kerja-kerja kemanusiaan, melibatkan lebih 2,000 belia tempatan dan juga serantau.

Sebahagian projek yang dijalankan oleh para belia begitu menyentuh hati dan menangani cabaran-cabaran yang diharungi masyarakat-masyarakat dan kumpulan tertentu seperti anak yatim piatu, pelarian, warga tua, keluarga dan kanak-kanak yang ibu bapa dipenjara, golongan kurang upaya, mangsa perang dan konflik hinggalah projek pemuliharaan bagi membantu masyarakat di Kemboja, China, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura dan Vietnam.

Lantaran itu, pada masa akan datang, RLAF bertekad untuk menyokong pembangunan lebih banyak kumpulan-kumpulan belia dan aktivis masyarakat menerusi latihan dan geran.

"Ini akan membolehkan mereka membuat sumbangan-sumbangan positif dan yang akan memperkaya masyarakat. Kami akan terus mewujudkan peluang untuk mereka menjadi sukarelawan serta peluang pengurusan projek bagi program-program yang membawa kesan seperti jagaan warga tua, mendampingi orang-orang kurang upaya dan banyak lagi segmen masyarakat yang masih memerlukan," tambah RLAF.

Masyarakat amnya boleh membantu merealisasikan visi RLAF itu menerusi sumbangan derma mereka.

Orang ramai boleh menderma menerusi tabung-tabung "Grow the Culture of Compassion" di mana-mana masjid setempat Jumaat ini.

Orang ramai juga boleh membuat sumbangan derma mereka yang layak menerima potongan cukai dalam bentuk tunai atau cek (2.5 kali atau 250 peratus jumlah wang yang didermakan). Namun, mereka perlu menyatakan nombor kad pengenalan atau UEN.

Derma berbentuk cek perlu dibayar kepada "RLAF" dan dinyatakan “GROWING THE CULTURE OF COMPASSION” dan juga nombor telefon mereka.

Derma tunai dan cek boleh dikirimkan ke alamat:

a) Pejabat RLAF
Masjid Yusof Ishak, Tingkat 4
10 Woodlands Drive 17
Singapura 737740

b) Hab Islam Singapura
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)
273 Braddell Road
Singapura 579702

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan