Images
  • rahmatan lil alamin
    Logo Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF). (Gambar: Rahmatan Lil Alamin/ Facebook)

RLAF akan sampaikan cek S$180,762 kepada Mercy Relief

SINGAPURA:Masyarakat Islam Singapura dan kumpulan agama serta masyarakat lain menyumbang S$180,762 bagi membantu penduduk yang terjejas oleh konflik dan bencana alam di negeri Rakhine, Myanmar.

Jumlah tersebut berjaya dikumpulkan atas usaha bersama 70 masjid di serata Singapura dan sumbangan derma langsung ke Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) oleh badan berbilang agama dan badan-badan masyarakat.

Dana yang terkumpul akan diserahkan kepada agensi kemanusiaan tempatan, Mercy Relief Singapura yang bekerja rapat dengan Pertubuhan Pembangunan Heart Myanmar (MHDO), untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat di sana.

MHDO adalah sebuah agensi kemanusiaan bebas tempatan dengan misi tertentu "mencipta dan / atau menyediakan peluang pekerjaan lebih baik bagi golongan yang memerlukan di Myanmar".

MHDO melaksanakan projek-projek yang menyediakan bantuan kepada rakyat tanpa mengira umur, jantina, etnik, persatuan politik atau agama.

Mercy Relief Singapura telah bekerja rapat dengan agensi itu sejak tragedi banjir 2012.

Kali ini, MHDO akan menggunakan dana itu untuk menyediakan bekalan makanan kecemasan selama tiga bulan untuk masyarakat yang terjejas di tiga bandar di negeri Rakhine iaitu Sittwe, Buthidaung dan Maungdaw.

Bantuan yang diberikan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,200 keluarga atau 11,000 orang.

Pengerusi Lembaga Amanah RLAF, Encik Po'ad Mattar berkata: "Sebagai sebuah komuniti kecil di Singapura, saya gembira kerana kita mampu untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat di luar negara yang memerlukan perhatian kami.

"Kami berdoa pemberian ini membawa harapan dan keyakinan kepada mereka yang yang terjejas dan semangat dermawan dalam masyarakat akan diteruskan. Terima kasih kami ucapkan kepada mereka yang menyumbang secara ikhlas demi kebaikan orang lain".

Sebelum ini, masyarakat Islam Singapura pernah meyumbang kepada mangsa Taufan Nargis di Myanmar pada tahun 2008 serta pada tahun 2012 dan 2015 bagi mangsa-mangsa banjir di negeri Rakhine. 

- BERITAMediacorp/su

Top