Images

River Safari, Taman Burung Jurong diubah nama dalam penjenamaan semula Mandai Wildlife Group

SINGAPURA: River Safari diubah namanya menjadi 'River Wonders', manakala taman burung baru yang akan dibuka di kawasan Mandai diberi nama 'Bird Paradise'.

Nama-nama baru itu diumumkan sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula Wildlife Reserves Singapore yang didedahkan pada Rabu (13 Okt).

Wildlife Reserves Singapore akan digantikan dengan Mandai Wildlife Group, iaitu entiti korporat baru yang mengendalikan operasi kedua-dua taman haiwan dan kerja-kerja binaan di kawasan Mandai.

Lima taman dimasukkan di bawah kumpulan Mandai Wildlife Reserve - Taman Haiwan Singapura, Safari Malam, River Wonders, Bird Paradise dan Rainforest Wild.

Mandai Wildlife Group pada Rabu mendedahkan logo serta jenama baru bagi semua taman tersebut, dengan cogan kata 'Come to life'.

Menjawab pertanyaan media, Ketua Pegawai Eksekutif Mandai Wildlife Group, Mike Barclay berkata kawasan hidupan liar itu dijangka siap menjelang 2024, seperti diumumkan sebelum ini.

Salah satu daya tarikan utamanya adalah Bird Paradise, yang akan dibuka menjelang tahun depan.

Encik Barclay menekankan bahawa kumpulan itu akan mempertingkatkan usaha pemuliharaan, penjagaan haiwan dan kemampanan di bawah cabang pemuliharaannya, Mandai Nature, dan Mandai Global - yang akan memacu usaha mengembangkan sayap dalam bidang-bidang perniagaan baru seperti ekowisata, belajar sambil berhibur dan teknologi hijau.

Selain daripada perkembangan baru itu, taman-taman sedia ada akan diperbaharui dengan sebuah panggung terbuka yang baru di Safari Malam dan ruang Kidzworld yang dinaik taraf di Taman Haiwan Singapura.

Kidzworld akan mempunyai ruang mendekati haiwan jinak (petting zoo) "bertaraf dunia" dengan taman haiwan itu akan memperluaskan penggunaan kandungan digital dan maya bagi aktiviti-aktiviti baru yang menggabungkan pengalaman fizikal dan digital.

Jenama dan logo baru bagi taman-taman sedia ada dilancarkan pada Rabu bersama dengan papan tanda dan seragam korporat baru bagi kakitangan Mandai Wildlife Group serta di laman dan wadah media sosialnya.

- CNA/HA/ha

Top