Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ribuan beratur untuk bantuan S$500 sedang permohonan dibuka

Dengan sempadan ditutup dan penerbangan merata dunia digantung akibat pandemik COVID-19, pendapatan Encik Muhammad Ridhwan, 28 tahun, seorang kakitangan keselamatan penerbangan di Lapangan Terbang Changi menjunam 40 peratus sejak Februari ekoran elaun yang dipotong.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan beratur untuk bantuan S$500 sedang permohonan dibuka

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 02 Apr 2020 03:33PM Dikemas Kini : 02 Apr 2020 03:43PM

SINGAPURA: Dengan sempadan ditutup dan penerbangan merata dunia digantung akibat pandemik COVID-19, pendapatan Encik Muhammad Ridhwan, 28 tahun, seorang kakitangan keselamatan penerbangan di Lapangan Terbang Changi menjunam 40 peratus sejak Februari ekoran elaun yang dipotong.

Meskipun isterinya, Cik Nadhira, 27 tahun turut bekerja, mereka perlu menanggung tujuh orang di rumah, termasuk anak kecil mereka berusia tiga bulan.

Kedua-duanya anak sulung dalam keluarga masing-masing, mereka juga merasakan lebih tekanan membantu adik-beradik mereka dari segi kewangan pada waktu-waktu sebegini, kata Cik Nadhira kepada Mediacorp.

Pasangan itu adalah antara ribuan orang yang beratur di kelab-kelab masyarakat (CC) dan pejabat khidmat sosial kendalian Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Rabu (1 Apr).

Permohonan bagi Dana Bantuan Sementara dibuka sepanjang bulan. Ia menawarkan bantuan wang tunai sekali saja bernilai S$500 bagi penduduk bergaji rendah atau pertengahan yang kehilangan kerja mahupun pendapatan ekoran krisis COVID-19.

MSF memberitahu Mediacorp setakat 3.00 petang pada Rabu, ia menerima 3,500 permohonan.

Untuk layak menerima dana itu, para pemohon perlu menyerahkan dokumen membuktikan mereka kehilangan sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan atau kehilangan pekerjaan, dan bukan penerima bantuan ComCare.

Dalam lamannya MSF menyatakan ia mengambil masa satu hingga tiga hari untuk memroses permohonan.

PERLU KEMUKAKAN BUKTI

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari memberitahu Mediacorp bahawa Kelab Masyarakat Pasir Ris East menerima sekitar 200 permohonan pada Rabu.

Menurutnya satu isu yang dihadapi para kakitangan adalah ramai penduduk tidak mengemukakan dokumen berkenaan untuk menyokong permohonan mereka.

"Ada pemohon bekerja sendiri dan mengendalikan perniagaan dari rumah. Agak sukar untuk membuktikan apabila mereka mendakwa pesanan yang mereka terima berkurangan akibat COVID-19 tapi mereka tiada dokumen untuk membuktikannya," kata beliau.

"Kami juga mempunyai kes-kes penduduk melakukan kerja sambilan. Apabila ada tugasan tersedia, mereka dipanggil bekerja, namun kini kurang tugasan maka pendapatan mereka terjejas. Oleh itu satu cabaran terbesar adalah mengesahkan situasi kewangan mereka."

Warga dan penduduk Singapura yang masih hadapi cabaran mendapatkan kerja ekoran pandemik ini juga boleh memohon bagi Geran Sokongan COVID-19 di bawah MSF. Kementerian itu menyatakan ia akan menyediakan bantuan S$800 sebulan selama tiga bulan, kepada pemohon yang berjaya, apabila permohonan dibuka pada 1 Mei.

Untuk layak menerima geran ini, para pemohon perlu memberi komitmen menerima pekerjaan dan latihan dari agensi-agensi pemerintah.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan