Images
  • hadley
    (Gambar: Instagram/TheTonyHadley, Facebook/Muhammad Shalehan)

'Rezeki Raya' S$10,000 jadi milik Muhammad Shalehan setelah vokalis Spandau Ballet sahkan sebutan namanya

SINGAPURA: Stesen radio Mediacorp, Gold 905 mengumumkan ia akan memberikan hadiah berbentuk "wang tunai dan perbelanjaan untuk membeli-belah bernilai S$10,000" kepada Encik Muhammad Shalehan kerana memberikan jawapan tepat dalam Kuiz Teka Nama Selebriti - termasuk penyanyi kugiran Spandau Ballet, Tony Hadley.

Dalam catatan Facebook yang dimuat naik pada Jumaat (22 Mei), stesen radio itu menyatakan ia sudah menghubungi Encik Shalehan bagi menyampaikan berita baik itu.

"Kami telah menghubungi Encik Shalehan sekali lagi untuk memohon maaf kepadanya. Memandangkan Tony Hadley sendiri mengatakan bahawa Encik Shalehan menyebut namanya dengan betul, siapalah kami untuk menafikannya?" demikian menurut catatan itu.

Kenyataan itu juga menzahirkan penghargaan kepada para pendengar stesen radio tersebut atas maklum balas mereka.

Kuiz Teka Nama Selebriti itu memerlukan para peserta untuk mengenal pasti 14 selebriti dengan setiap seorang mengatakan satu perkataan dalam frasa: "Gold 9-0-5, the station that sounds good, and makes you feel good."

Encik Shalehan menyertai kuiz itu pada 21 Apr dan memberikan jawapan berikut: "Tony Hadley, Madonna, Maggie Wheeler, Ellen DeGeneres, Jim Carrey, George Clooney, David Bowie, Belinda Carlisle, Julie Andrews, Lionel Richie, Stevie Wonder, Meryl Streep, Michael Buble, Rebecca Lim."

Sebelum ini, beliau diberitahu oleh DJ Chris Ho bahawa beliau hanya mendapat 13 daripada 14 nama itu tepat.

Pada 6 Mei, seorang lagi peserta memberikan jawapan yang sama dengan Encik Shalehan dan beliau diberitahu bahawa beliau adalah pemenang peraduan itu.

Apabila Encik Shalehan mendapat tahu tentang keputusan itu, beliau menghubungi stesen radio tersebut dan diberitahu bahawa beliau tersilap menyebut nama Encik Hadley.

Beliau kemudian menghubungi penyanyi kugiran Spandau Ballet itu yang mengatakan bahawa beliau menyebut namanya dengan betul, namun hanya dengan loghat yang berbeza sedikit.

"Saya mendengar rakaman itu sekali lagi, dan bagi saya, anda menyebut nama saya dengan betul," kata Encik Hadley dalam rakaman video yang dihantar kepadanya.

Setelah Encik Shalehan meluahkan segalanya di media sosial, ramai netizen menggesa stesen radio itu supaya memberikan hadiah tersebut kepadanya.

Keputusan stesen radio Gold 905 untuk memberikan hadiah itu kepada Encik Shalehan dibuat dua hari selepas satu catatan Facebook pada Rabu (20 Mei) menyatakan: "Jawapan yang tepat sepenuhnya termasuk mengenal pasti dengan tepat nama selebriti mengikut urutan yang betul dan sebutan yang betul bagi nama-nama selebriti dengan cara mereka (selebriti itu) sendiri akan menyebutnya."

Pada waktu itu, stesen radio berkenaan bertegas dengan keputusannya dan akan memberikan Encik Shalehan wang tunai sebanyak S$5,000 sebagai tanda penghargaan.

- CNA/HA/ha

Top