Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Retorik 'anti-warga asing' PSP boleh pecah belah hubungan sesama rakyat, tegas Lawrence Wong

Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (14 Sep) menggesa para Anggota Parlimen (AP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) supaya mengelakkan retorik "anti-warga asing" kerana ia boleh meretakkan hubungan antara penduduk tempatan dengan warga asing dan antara rakyat Singapura yang berbilang kaum.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2021 05:28PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 09:58PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (14 Sep) menggesa para Anggota Parlimen (AP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) supaya mengelakkan retorik "anti-warga asing" kerana ia boleh meretakkan hubungan antara penduduk tempatan dengan warga asing dan antara rakyat Singapura yang berbilang kaum.

Semasa berucap di Parlimen mengenai usulan untuk menjaga pekerjaan dan mata pencarian rakyat Singapura, Encik Wong menggariskan dasar-dasar ekonomi dan buruh Pemerintah dan menolak dakwaan PSP kononnya dasar bakat asing telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Singapura berhubung pekerjaan dan mata pencarian mereka.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (PSP) dijangka akan berucap tentang usul bertentangan berhubung dasar bakat asing.

Perbahasan ini adalah yang kedua di Parlimen berhubung dasar tenaga kerja asing di Singapura, dengan yang pertama pada Julai, juga dimulakan oleh Encik Leong dari PSP.

Encik Wong menekankan bahawa Pemerintah tidak dapat menerima usul PSP mengenai dasar bakat asing dan atas sebab itulah ia mengemukakan usul berasingan mengenai isu yang sama.

"Sila renungkan bagaimana retorik anda boleh meretakkan hubungan - bukan setakat antara penduduk tempatan dengan warga asing tetapi juga antara rakyat yang berbilang kaum di Singapura," kata Encik Wong.

"Nada berbaur perkauman dan xenofobia yang sangat ketara dalam kempen PSP terhadap CECA tidak boleh dibiarkan begitu saja."

KEPRIHATINAN PENIAGA, PEMOHON KERJA

Menurut Encik Wong, masyarakat perniagaan sudah menyuarakan keprihatinan mengenai retorik terhadap warga asing dan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas.

"Mereka bimbang pendirian anti-warga asing PSP akan menjejas peluang mereka untuk mendapatkan pekerja dan mengancam operasi mereka secara keseluruhannya di sini," katanya lagi.

Rakyat Singapura juga merasakan kesannya, kata Encik Wong sambil berkongsi emel daripada seorang warga Singapura berbangsa India yang bimbang beliau tidak akan disenarai pendek untuk pekerjaan disebabkan oleh keprihatinan terhadap pekerja hijrahan dari India.

Encik Wong turut mempelawa Encik Leong berkongsi pendekatan PSP berhubung isu mewujudkan pekerjaan.

“Saya sudah menggariskan dengan menyeluruh strategi Pemerintah. Kita kekal terbuka dan terhubung dengan dunia, untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan meningkatkan peluang kerja semua rakyat Singapura," kata Encik Wong.

"Kami mengambil langkah-langkah konkrit untuk menangani sebarang kegenjotan pada dasar ekonomi terbuka - mengawal kemasukan pekerja, menghapuskan diskriminasi di tempat kerja dan menjaga kumpulan minoriti yang terjejas."

Encik Wong sekali lagi menegaskan bahawa Singapura tidak boleh berfikiran sempit dan sebagai sebuah pulau kecil, Singapura perlu terus bersikap terbuka dan terhubung untuk menjamin penakatannya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan