Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran Spize River Valley akan dikenakan tindakan mahkamah - NEA

Langkah tegas itu diambil setelah bakteria Salmonela didapati menjadi punca kes keracunan makanan itu yang menjejas 82 orang dan meragut satu nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lesen restoran Spize River Valley yang terpalit dengan kes keracunan makanan beramai-ramai, kini dibatalkan dengan serta merta berkuat kuasa hari ini (7 Dis).

Malah, tindakan mahkamah juga akan dikenakan terhadap restoran tersebut, dedah Ketua Pengarah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Derek Ho.

Langkah tegas itu diambil setelah bakteria Salmonela didapati menjadi punca kes keracunan makanan itu yang menjejas 82 orang dan meragut satu nyawa.

PELBAGAI KELEMAHAN SPIZE DIBONGKAR

Dalam satu sidang media bersama siang tadi, Kementerian Kesihatan (MOH), Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) dan NEA mendedahkan bahawa secara keseluruhannya, tujuh insiden keracunan makanan berlaku di cawangan Spize River Valley dari 6 hingga 9 November lalu.

Ini termasuk insiden yang meragut nyawa kakitangan SATS, Allahyarham Fadli Saleh dan siasatan mendapati bahawa bakteria Salmonela menjadi punca kesemua insiden itu.

Dalam siasatan pertama oleh MOH, NEA dan AVA pada 7 November ke atas Spize River Valley, ia mendapat pelbagai kelemahan seperti makanan yang dimasak tetapi tidak ditutup diletakkan dalam peti sejuk, sabun cuci tangan tidak disediakan di dapur dan pisau-pisau yang digunakan untuk menyediakan makanan dimasak tidak diletakkan dengan betul.

Siasatan kedua pada 14 November antara lain mendapati, tujuh pekerja tidak didaftarkan mengendalikan makanan serta amalan kebersihan peribadi dan penyediaan makanan yang teruk.

MOH menyatakan ujian makmal mendapati bakteria Salmonela dan beberapa bakteria lain ditemui pada makanan sudah dimasak, bahan mentah dan pemegang pintu dan rak-rak di bilik sejuk.

MOH menambah dapatan juga menunjukkan bakteria tersebut didapati dalam makanan seperti nasi goreng belacan, sambal belacan dan bahan mentah seperti ayam dan sayur kangkung di restoran tersebut.

Malah, setelah arahan penggantungan dikenakan ke atas restoran ini pada 9 November, telur-telur yang sepatutnya dibuang, sebaliknya dihantar ke cawangan lain Spize iaitu di Temasek Club.

BAGAIMANA SALMONELA JADI BERBAHAYA

Timbalan Pengarah Sekolah Kimia & Sains Hayat NYP Richard Khaw berkata mengatakan meskipun bakteria Salmonela biasa ditemui pada bahan-bahan mentah, ia boleh menjadi serius jika kontaminasi silang berlaku.

"Bahan mentah itu mungkin sudah tercemar dengan patogen atau bakteria yang boleh mengakibatkan keracunan makanan dan ini boleh mengakibatkan kepada kecemaran silang dengan makanan yang sudah dimasak berada di dalam peti sejuk dan tidak ditutup," katanya.

NEA menyatakan siasatan terhadap cawangan-cawangan lain Spize juga dijalankan dan mendapati cawangan-cawangan lain itu tidak terjejas dengan insiden ini.

CAWANGAN BEDOK HILANG 50% PELANGGAN

Pemilik bersama Spize Haresh Sabnani memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan sendiri di cawangan itu.

Beliau menambah bahawa khidmat konsultan kebersihan makanan juga sudah didapatkan bagi cawangan-cawangan yang lain.

Pihak kami difahamkan cawangannya seperti di Bedok misalnya terjejas dengan kehilangan 50% jumlah pelanggan berbanding tempoh sebelum ini.

Namun, para pelanggan yang ditemui di sana hari ini rata-rata berpendapat masih selamat untuk mereka melanggan di cawangan-cawangan Spize yang lain.

NEA menambah langkah-langkah pemeriksaan akan dipertingkatkan terhadap penyedia-penyedia khidmat makanan semasa musim perayaan akan datang ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan