Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran ini tetap sediakan set ketupat, lepat, ketupat palas pada minggu ketiga Syawal

Meskipun sudah memasuki hari ke-21 Syawal, semangat Hari Raya ternyata masih belum pudar.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran ini tetap sediakan set ketupat, lepat, ketupat palas pada minggu ketiga Syawal

Ketupat, lepat dan ketupat palas. (Gambar: Laman Aroma Kampung)

SINGAPURA: Meskipun sudah memasuki hari ke-21 Syawal, semangat Hari Raya ternyata masih belum pudar.

Bukan sahaja seronok berkunjung ke rumah ibu bapa dan datuk nenek, malah ada juga yang masih teringin menikmati hidangan lauk Raya, termasuk ketupat dan rendang.

Bagaimanapun, dengan kurangnya bekalan daun janur ke Singapura tahun ini akibat sekatan COVID-19, pastinya ramai yang tidak dapat menjamah ketupat mahupun ketupat palas sempena musim Raya ini.

Namun, bagi mereka yang masih inginkan lauk rendang berserta ketupat untuk dinikmati bersama keluarga, ini berita baik bagi anda!

Restoran Aroma Kampung yang terletak di Joo Chiat Complex, masih menjual ketupat, lepat dan ketupat palas, yang boleh dihantar terus ke rumah anda.

(Gambar: Facebook/Aroma Kampung)

Malah sambutan bagi ketiga-tiga hidangan ini tetap memberangsangkan meskipun sudah memasuki minggu ketiga Syawal.

Pemilik Aroma Kampung, Cik Khadijah Mukhit memberitahu BERITAmediacorp: "Ketupat palas kami yang paling laris sejauh ini. Minggu lalu, pada minggu kedua Syawal, kami berjaya menjual 2,000 ketupat palas. Jadi setakat ini, kami sudah menjual sekitar 3,000 ketupat palas.

Cik Khadijah Mukhit. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

"Juga pada hujung minggu ini sahaja, kami mendapat pesanan bagi 500 ketupat. Ini termasuk hidangan set dan ketupat ikat yang dijual secara berasingan."

DIJUAL DALAM SET ATAU SECARA IKAT

Aroma Kampung antara lain menjual Set Ketupat, Set Ketupat Palas dan Set Lepat, serta ketiga-tiganya tanpa hidangan lauk.

Set Ketupat yang disertakan dengan 10 ketupat, rendang bagi empat orang, serunding dan kuah sate dijual pada harga S$30.

(Gambar: Facebook/Aroma Kampung)

Set Ketupat Palas dengan 10 hingga 12 biji ketupat palas dan rendang berharga S$24, manakala set Lepat dengan 10 lepat dan rendang berharga S$27.

Lima ketupat dalam satu ikat pula dijual pada harga S$4.

Lima ketupat palas seikat berharga S$5, dan enam lepat seikat harganya S$9.

Dalam kesukaran mencari daun ketupat janur dan palas, Cik Khadijah jelas mempunyai cara tersendiri dalam memastikan perniagaan beliau dapat diteruskan dengan lancar.

"Di Singapura, memang jarang dan sukar mencari daun ketupat palas. Kami mengimport sendiri daun tersebut dari pembekal-pembekal di Malaysia dan Indonesia.

(Gambar: Facebook/Aroma Kampung)

"Juga saya rasa pada tahun ini, ramai yang tidak dapat ke Malaysia. Oleh itu, pendekatan ini memberi peluang kepada kami menjana pendapatan, lebih-lebih lagi dengan kurangnya pelanggan yang datang ke sini. Inilah cara kami mengekalkan perniagaan kami," jelas Cik Khadijah.

AIR TANGAN PEMILIK AROMA KAMPUNG

Cik Khadijah juga berkongsi bahawa ketupat palas yang dipesan, dibuat pada malam sebelumnya dan direbus pada hari penghantaran, manakala ketupat biasa pula dianyam sehari sebelum penghantaran.

(Gambar: Facebook/Aroma Kampung)

Malah Cik Khadijah dan suaminya sendiri yang melipat daun ketupat palas itu.

Yang jelas, air tangan pemilik ini sendiri mempunyai sentuhan peribadi bagi para pelanggannya.

"Saya lebih menyukai resipi cara lama dan sebenarnya tidak semua orang tahu membuat ketupat palas sendiri.

"Lagipun orang-orang tua lebih suka pada menu tradisional. Jadi dengan kunjung-mengunjung dibenarkan ke rumah ibu bapa, saya berharap kita jangan ikut bermuram dan tetap mengekalkan semangat Hari Raya," ujar Cik Khadijah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan