Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran Hjh Maimunah, Bismillah Biryani disenarai Bib Gourmand Michelin 2019

Restoran Hjh Maimunah dan Bismillah Biryani adalah antara 58 tempat makanan yang diiktiraf senarai Bib Gourmand Panduan Michelin tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Restoran Hjh Maimunah adalah antara 58 tempat makanan yang diiktiraf senarai Bib Gourmand Panduan Michelin tahun ini.

Senarai tersebut dikhususkan bagi restoran dan penjaja yang menghidangkan makanan bermutu pada harga berpatutan.

'MAKANAN KAMPUNG THE BEST'

Sejak ditubuhkan pada tahun 90-an, Restoran Hjh Maimunah sentiasa dikunjungi segenap masyarakat, dengan masakan yang tidak kurang rasa pedas, masam dan manisnya.

"Hjh Maimunah, makanan kampung the best!"

"Makanan dan masakannya sedap juga dan berpatutan."

Demikian antara reaksi para pelanggan apabila BERITAmediacorp berkunjung ke restoran yang terletak di Jalan Pisang itu hari ini (10 Sep).

Lauk-pauk dan makanan tradisional Melayu yang dihidangkan memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu.

Siput sedut, ikan bakar, dan tahu terlur antara yang paling digemari.

PENGUNJUNG LUAR NEGARA ANTARA PELANGGAN TETAP

Restoran Hjh Maimunah pernah disertakan dalam senarai Bib Gourmand pada 2016 dan pengiktirafan yang diterima lagi pada tahun ini semestinya satu detik manis.

"Kami sangat gembira dan berbesar hati kerana kami dapat Anugerah Michelin Bib Gourmand 2019 dan kami harap kami dapat mengekalkan mutu makanan kami dan kami juga harap pelanggan akan kembali, bukan sahaja yang tetap tetapi orang lain," kongsi pengurus operasi restoran itu, Cik Maria Didih.

Bib Gourmand yang diperkenalkan pada 1997 adalah panduan dari Perancis yang mengiktiraf para penjaja dan restoran yang menawarkan makanan bermutu pada harga kurang $45.

Lantaran itu, tidak hairanlah restoran yang sentiasa sesak dengan pelanggan terutama sekali pada waktu sarapan dan tengah hari ini juga berjaya menarik pelanggan tetap dari luar negara.

"Saya datang ke restoran ini sebanyak lima kali seminggu dan kami gemar pilihan makanan di sini kerana ia selalu dimasak segar setiap hari," kongsi seorang warga Perancis.

Seorang warga Indonesia, pula berkata: "Hampir setiap sebulan sekali datang ke Singapura dan selalunya makan di restoran di sini kerana restoran ini memenuhi selera Nusantara."

Sebuah lagi restoran halal yang disenaraikan tahun ini adalah Bismillah Biryani di Dunlop Street.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan