Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran di Kampong Gelam saksi jualan junam 70% pada hari pertama Fasa Penstabilan

Restoran-restoran di Kampong Gelam mula merasakan kesan langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat pada hari pertama Fasa Penstabilan hari ini (27 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Restoran-restoran di Kampong Gelam mula merasakan kesan langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat pada hari pertama Fasa Penstabilan hari ini (27 Sep).

Dengan hanya sehingga dua orang sahaja dibenarkan duduk makan semeja, kawasan yang lazimnya menjadi lokasi pilihan para pekerja di situ bagi makan tengah hari, kelihatan sunyi sepi.

Malah, ada perniagaan makanan dan minuman di situ menyaksikan jualan mereka menjunam hingga 70%.

PENJUALAN TURUN 70% PADA HARI PERTAMA FASA PENSTABILAN

Bermula 27 September, makan di luar kembali ke peraturan '2 orang semeja' hingga 24 Oktober.

Restoran-restoran baru seperti 'The Pancake Place' antara yang teruk merasa kesannya.

Sebelum sekatan terbaru itu dilaksanakan, kafe milik Cik Widyanti Mohd Yusope, 49 tahun, mendapat sambutan 'hangat' dengan lebih 250 pelanggan setiap hari.

Kini, beliau terpaksa 'undur selangkah' kerana pada satu-satu masa, jumlah pelanggan yang mampu ditampung restoran ini dikurangkan kepada 25 orang sahaja.

Cik Widyanti berkata: "Sekarang dengan sekatan baru ini, hanya dua orang yang sudah divaksin dibenarkan, kami menjangka penjualan kami akan menurun sekurang-kurangnya 50-70%. Kalau tidak ada sekatan kita boleh menampung 50 pelanggan."

Malah, Cik Widyanti juga menganggap bahawa pengumuman Fasa Penstabilan datang secara tiba-tiba, memandangkan Singapura dikatakan dalam proses menuju ke fasa endemik.

"Malangnya dengan sekatan baru yang diumumkan, kita tidak menjangkakan. Jadi tidak ada apa yang kami mampu buat atau lakukan," ulas Cik Widyanti.

PERATURAN-PERATURAN BARU BANYAK MENJEJAS PERNIAGAAN

'The Pancake Place' yang baru berusia kurang sebulan itu merupakan taruhan terbaru Cik Widyanti.

Pelaburan bernilai S$250,000 itu merupakan cawangan makanan dan minuman (F&B) beliau yang keempat termasuk Royz Et Vous dan IndoBowl.

"Kita buka kafe ini kerana kita yakin dengan kadar tinggi vaksinasi di Singapura. Jadi kita yakin sangat keadaan akan menjadi lebih baik. Kita tidak jangkakan ini akan terjadi lagi," ujar Cik Widyanti.

Berkongsi pandangannya mengenai langkah pemerintah mengenakan peraturan makan '2 orang semeja' semula, Cik Widyanti berkata: "Jelas sekali, kami kecewa dengan keputusan yang diambil pemerintah. Berulang kali. Ia sangat susah untuk mengurus stok, kakitangan. Ia benar-benar menjejas sektor F&B."

Meskipun begitu, Cik Widyanti tetap bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan Pemerintah dari segi pengecualian sewa, serta Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang membantunya untuk menampung kos operasi dan kakitangan bagi cawangan-cawangan makanan dan minumannya yang lain.

Namun, menurut beliau, ia masih tidak memadai untuk menampung kerugian yang dialaminya.

Sejak fasa pemutus rantaian jangkitan tahun lalu, Cik Widyanti sudah menggunakan lebih S$500,000 daripada rizab perniagaannya bagi menampung kos-kos operasi dan kakitangan.

Ini memandangkan sejak Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), jualan bagi restoran Royz Et Vous dan Indobowl sudah mencatat penurunan teruk sehingga 90%. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan