Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rendang, kuah lodeh pelengkap hidangan Tahun Baru Cina

Hidangan Melayu nampaknya semakin menjadi pilihan masyarakat Cina sebagai pelengkap hidangan ketika menerima tetamu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Hidangan Melayu nampaknya semakin menjadi pilihan masyarakat Cina sebagai pelengkap hidangan ketika menerima tetamu.

Tinjauan rambang kami mendapati, syarikat-syarikat katering dan peniaga makanan Melayu menikmati sehingga 30% tambahan perniagaan sempena Tahun Baru Cina.

Rendang, kuah lodeh, dan sambal goreng pengantin - pembuka selera setiap Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Namun, lauk-pauk ini juga semakin 'memikat hati' masyarakat Cina sebagai sajian utama sewaktu perayaan Tahun Baru Cina.

Trend ini pastinya peluang yang amat dialu-alukan bagi meningkatkan perniagaan.

Restoran Hajah Maimunah misalnya antara yang paling sibuk setiap menjelangnya Tahun Baru Cina.

Malah, ia mula menerima permintaan sejak tahun lalu dan terpaksa berhenti menerima tempahan bulan lalu.

PENIAGA UBAH SUAI LAUK, PENUHI CITA RASA PELANGGAN

Tempahan bagi khidmat katering tahun ini melonjak 30. Berdasarkan pengalaman tahun-tahun sudah, penjualan di kedai dijangka naik 20%.

Cik Masturah, pengurus besar Restoran Hajah Maimunah. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Bagi memenuhi permintaan yang meningkat ini, Restoran Hajah Maimunah buat pertama kalinya menyediakan pakej khas bagi Tahun Baru Cina.

"Cabaran dan kesukaran restoran Hajah Maimunah ialah apabila ada pelanggan meminta makanan itu kurang pedas untuk makanan yang memang pedas seperti sambal udang ataupun makanannya kurang minyak macam untuk rendang. Kita perlukan minyak itu bila kita masak," kata Cik Masturah Didih Ibrahim, Pengurus Besar Restoran Hajah Maimunah.

"Ada juga minta kurang masin, jadi kadang-kadang kita cuba untuk memenuhi permintaan tapi kita cuba untuk pastikan kualiti masih tetap ada 'standard' atau piawai makanan sama," Tambah beliau.

SELAIN LAUK PAUK, KUIH MELAYU JUGA JADI PILIHAN MASYARAKAT CINA

Beberapa lagi tempat makan di kawasan Geylang Serai juga menyaksikan semakin banyak pelanggan Cina yang memesan makanan Melayu untuk dihidangkan kepada tetamu.

"Ada juga dua tiga orang Cina, buat tempahan kuih raya, rempeyek, karipap, dan epok-epok, mereka ada buat tempahan untuk sambutan mereka. Sekarang Cina pun dah pandai makan sedap. Rendang sedap, jadi banyak pelanggan Cina sekarang," kata Cik Aisha, pengurus Shazah Confectionary.

"Pada Tahun Baru Cina, memang Al-Wadi sentiasa penuh. Ramai pelanggan akan datang sini. Dah Al-Wadi tiga tahun dekat sini memang perayaan Tahun Baru Cina memang sentiasa teratas, selalu penuh," seloroh Syed Ali, tukang masak Al-Wadi.

Sememangnya makanan menjadi tali pengikat pelbagai perayaan masyarakat majmuk di negara ini.   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan