Images

Ren Ci @ Ang Mo Kio dilancar, manfaat teknologi bagi jagaan pesakit

SINGAPURA: Penggunaan teknologi berjaya meningkatkan keupayaan rumah rawatan Ren Ci @ Ang Mo Kio dalam memberikan khidmat perubatan, rawatan dan pemulihan yang baik dan dalam kemampuan para pesakitnya.

Rumah rawatan itu sedang menguji satu sistem mandi yang baru bagi pesakit berkerusi roda.

Ia juga merintis satu program penginapan jangka pendek untuk tempoh peralihan pesakit warga tua yang baru dibenarkan keluar hospital untuk pulang ke rumah.

Bagi kebanyakan orang, mandi merupakan satu kegiatan biasa dan mudah.

Namun bagi golongan warga tua yang berkerusi roda dan penjaga mereka, ia merupakan satu cabaran.

Mujur, di Ren Ci @ Ang Mo Kio, sebuah alat dari Jepun menjadikan mandi lebih mudah dan mungkin juga menyeronokkan.

Sistem VIAMI berharga lebih S$40,000 namun Ren Ci menyatakan ia berbaloi kerana amat cekap dan selesa.

Ren Ci berhasrat untuk menggunakan dana Daya Penghasilan Jagaan Kesihatan untuk memasang lebih banyak sistem itu di rumah rawatannya.

Institusi itu juga sedang merintis satu program penginapan jangka pendek dipanggil 'Short Stay Unit' bagi warga tua yang sudah keluar hospital untuk menjalani pemulihan dalam suasana yang kondusif buat tempoh sekitar enam bulan sebelum pulang ke rumah.

Sekitar 70 pesakit meraih manfaat daripada program itu yang dimulakan pada November 2017.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang berada di majlis pembukaan rasmi rumah rawatan itu bagi meraikan ulang tahun Ren Ci yang ke-25, berkata bahawa rakan jagaan masyarakat seperti Ren Ci adalah sangat penting dalam aspek penjagaan dalam masa peralihan.

"Mereka membolehkan rakyat Singapura dijaga dalam sekitaran yang biasa dan dekat dengan rumah mereka serta bersama dengan orang-orang yang mereka kenal dan sayangi.

"Dan ini menjadikan khidmat jagaan lebih mudah diakses, memberikan keselesaan kepada pesakit dan penjaga yang mempunyai lebih banyak sokongan psikologi dan masyarakat lantas mengelak daripada menggunakan dengan berlebihan kemudahan hospital yang mahal," kata PM Lee.

Ren Ci juga bekerjasama dengan Hospital Tan Tock Seng untuk berkongsi pengetahuan tentang bagaimana menjaga warga tua.

Sejauh ini, 90 peratus daripada lebih 470 katil di rumah rawatan Ren Ci sudah dipenuhi. 

- CNA/NF/tq

Top