Images

Remaja S'pura rancang serang masjid akan dapat peguam, dibicara di bawah ISA, dedah Shanmugam

SINGAPURA: Remaja rakyat Singapura yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang untuk melakukan tindakan pengganasan di dua buah masjid tempatan akan mendapat khidmat peguam dan dibicarakan untuk menjelaskan pendiriannya.

"Dia akan dibicarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dia akan mendapat seorang peguam, dan pendiriannya akan dijelaskan. Ibu bapanya terlibat sepenuhnya," menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, kepada para wartawan pada Khamis (28 Jan).

Menurut Encik Shanmugam, seorang hakim akan "menilainya". "Dan saya, sebagai menteri, akan menilainya juga," tambahnya.

Remaja berusia 16 tahun yang menjadi radikal itu adalah seorang penganut agama Kristian Protestan yang berketurunan India. Dia merancang untuk menggunakan parang untuk menyerang umat Islam di dua buah masjid di kawasan Woodlands.

Serangan-serangan itu dirancang dilancarkan pada 15 Mac tahun ini sempena ulang tahun kedua serangan berdarah di Christchurch, New Zealand pada 2019.

Remaja itu terpengaruh dengan tindakan dan manifesto Brenton Tarrant, lelaki yang bertanggungjawab atas serangan ke atas dua buah masjid di Christchurch New Zealand, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Rabu.

Encik Shanmugam berkata pada Khamis bahawa usia remaja lelaki itu tidak relevan semasa menimbangkan sama ada dia akan ditahan.

"Oleh kerana saya berpendapat kita bersetuju bahawa dia boleh membawa bahaya, dan sehingga dia menjalani pemulihan, jika kita membiarkannya, dan jika dia melaksanakan apa yang ingin dilakukannya, saya fikir kita semua akan menanggung padahnya," tambahnya.

Menteri itu turut mendedahkan bahawa usia remaja lelaki itu akan menjadi satu faktor bagi memutuskan bagaimana proses pemulihannya akan dilaksanakan.

"Saya rasa berdasarkan umurnya, mesti ada harapan dia boleh menjalani pemulihan," katanya lagi, berdasarkan laporan-laporan yang diterima mengenai remaja tersebut.

"Bagaimanapun saya tidak fikir ISD dalam pertimbangannya berasa ragu-ragu bahawa dia mesti ditahan."

Menteri itu juga menekankan mengapa remaja itu tidak akan dibicarakan di mahkamah, sambil menarik perhatian bahawa "remaja itu belum melakukan apa-apa:"

"Selain pertanyaan mengenai apa yang telah dilakukannya, dia perlu dibicarakan, dia menyentuh tentang cara dia dipengaruhi oleh Tarrant dan manifestonya, apa yang dia benci terhadap orang Islam, adakah anda merasakan bahawa ia adalah sesuatu yang positif untuk hubungan antara kaum di sini?, kata Encik Shanmugam.

"Anda akan mendapat reaksi daripada masyarakat Islam. Anda akan mendapat orang lain daripada masyarakat Kristian yang akan mendengarnya, dan sebilangan daripada mereka mungkin bertanggapan seolah-olah remaja lelaki itu dijadikan sebagai mangsa.

"Anda mungkin merenggangkan hubungan antara penganut Kristian dengan umat Islam, atau mengeruhkan lagi keadaan."

- CNA/NA/na

Top