Images
  • neal maupay
    (Gambar: AP)

Remaja S'pura didakwa hantar mesej ugutan bunuh kepada pemain bola sepak Liga Perdana

SINGAPURA: Seorang rakyat Singapura didakwa menimbulkan gangguan setelah mengugut untuk membunuh pemain penyerang Brighton & Hove Albion, Neal Maupay dan keluarganya melalui mesej-mesej yang dikirim online pada tahun lalu.

Derek Ng De Ren, 19 tahun berada di Singapura apabila dia menghantar mesej ugutan itu langsung kepada Maupay menerusi Instagram, menurut kertas tuduhan.

Mesej-mesej yang dihantar dalam empat kejadian berasingan pada Jun dan Julai tahun lalu, dikirimkan menyusuli perlawanan Liga Perdana antara Arsenal dengan Brighton pada 20 Jun.

Penjaga gawang Arsenal Bernd Leno mengalami kecederaan lutut serius setelah digelecek oleh warga Perancis Maupay semasa perlawanan itu dan beliau terpaksa diusung keluar dari padang. Arsenal kemudian kalah dalam perlawanan itu 2-1.

Pada 24 Jun 2020, Ng menghantar mesej kepada Maupay yang berbunyi: "Kamu fikir kamu akan lepas selepas mencederakan Leno? Tidak mungkin...

"Tapi jangan bimbang, kamu akan selamat, kamu tidak akan cedera. Lebih seronok melihat kamu merasakan kesakitan apabila orang-orang yang kamu sayangi melalui penderitaan."

Pada keesokan hari, Ng mengirimkan satu lagi mesej yang mengandungi kata-kata kesat.

Pada lewat malam 26 Jun, dia juga memberitahu Maupay: "Keluarga kamu akan diserang pada lewat hari ini, tunggu sahaja."

Dia menghantar satu lagi mesej pada 1 Jul: "Kamu fikir dengan melaporkan akaun saya kamu selamat? Saya akan bunuh kamu dan keluarga kamu."

Ng menggunakan "kata-kata ugutan dengan niat mencetuskan keresahan" terhadap Maupay dalam mesej-mesej berkenaan, menurut kertas-kertas tuduhan.

Remaja itu berdepan empat tuduhan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan Singapura.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga S$5,000, dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.

Ancaman membunuh Ng pertama kali dimaklumkan setelah mesej-mesej itu dilaporkan kepada Liga Perdana melalui sistem laporan gangguan online.

Pada Ogos tahun lalu, Liga Perdana menyatakan para penyiasatnya menjejaki lokasi individu yang bertanggungjawab itu ke Singapura.

"Liga Perdana sedang berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dan akan menyokong semua tindakan undang-undang selanjutnya bagi pihak Maupay," katanya pada ketika itu.

Liga Perdana pada tahun lalu melancarkan satu sistem laporan khusus bagi para pemain, pengurus, jurulatih dan anggota keluarga yang menjadi mangsa penganiayaan bersifat diskriminasi yang serius secara online daripada mesej-mesej langsung di wadah media sosial.

- CNA/HA/ha

Top