Images
  • ralph wee court
    (Gambar: Mediacorp)

Remaja mengaku bersalah ceroboh kandang badak sumbu, aniaya katak, hisap ganja

SINGAPURA: Seorang remaja yang ditahan reman berkali-kali setelah dihadapkan di mahkamah atas tuduhan seperti menceroboh kandang di taman haiwan dan membunuh seekor katak, mengaku bersalah hari ini (25 Nov).

Ralph Wee Yi Kai, 19 tahun, mengaku bersalah atas lapan tuduhan berlainan, kebanyakkannya kerana melakukan perbuatan nakal. Ini termasuk melompat ke dalam kandang badak sumbu di Taman Haiwan Singapura dan melakukan aksi 'backflip' untuk video TikTok, membunuh seekor katak menggunakan bola di meja foosball, dan menghisap ganja di dalam bilik tidurnya.

Enam tuduhan lain turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.

Pihak pendakwa raya meminta agar tertuduh dinilai untuk kesesuaian menjalani latihan pemulihan dan menolak dengan "tegas" laporan kesesuaian probesen, sambil berkata bahawa probesen tidak sesuai kerana Wee "tidak dapat dikawal oleh ibu bapanya".

Pihak pembela meminta laporan kesesuaian probesen sebagai tambahan kepada laporan kesesuaian menjalani latihan pemulihan. Peguam Shashi Nathan dari Withers KhattarWong menarik perhatian bahawa Wee sedang melalui "krisis emosi yang teruk" setelah berpisah dengan temanitanya, yang merakamkan video insiden badak sumbu tersebut.

Beliau menambah kes itu telah menarik "publisiti yang meluas", menjejas bukan sahaja Wee tetapi keluarganya juga. Beliau mendakwa anak guamnya diganggu setelah alamat rumahnya didedahkan kepada orang awam.

Tertuduh mengaku bersalah dari dalam tahanan di tempat kediamannya menerusi sidang video. Mahkamah dimaklumkan bahawa Wee, yang menerima pendidikan di rumah sepenuhnya atau home schooling, telah pergi ke rumah seorang kawannya di Sixth Crescent pada 9 Oktober 2020.

Dia sedang "menghadapi beberapa kesukaran" dan ingin bercakap dengan rakannya mengenai masalah-masalah tersebut. Perbualan itu membuatnya lebih emosi.

Setelah meninggalkan rumah rakannya pada lewat malam, Wee menendang dan merosakkan panel maklumat di sebuah perhentian bas, menyebabkan kerosakan bernilai sekitar S$900 yang dibayar oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Tertuduh juga merosakkan cermin sisi sebuah kereta Mercedes Benz yang diletakkan di kawasan itu, yang menyebabkan pemiliknya perlu berbelanja sekitar S$2,800 untuk kerja-kerja pembaikan.

Seorang pemandu teksi yang melalui kawasan itu menghubungi polis setelah melihat Wee berdiri di tengah-tengah jalan raya sambil memegang sebotol bir.

INSIDEN BADAK SUMBU

Pada 17 Disember 2020, Wee telah pergi ke taman haiwan bersama teman wanitanya ketika itu. Remaja perempuan itu kini berusia 18 tahun. Tertuduh pernah menonton sebuah video tular yang menunjukkan seorang lelaki menunggang seekor zirafah, dan mengambil keputusan untuk melompat ke dalam kandang badak sumbu itu kerana pagarnya rendah.

Pada 24 Disember 2020, Wee pergi ke rumah seorang rakan di Sentosa Cove untuk perjumpaan pada malam Krismas. Dia membawa bersamanya dua paket yang mengandungi 17 katak sebagai gurauan Krismas untuk seorang tetamu lain.

Ketika bermain foosball, tertuduh meletakkan seekor katak di atas meja dan memukul bola ke arahnya. Katak itu cedera dan mati tidak lama kemudian. Seorang rakan Wee merakam perbuatan tersebut dan memuat naikkannya ke media sosial.

Tertuduh memotong bangkai katak itu dan membuangnya ke dalam sebuah terusan yang berdekatan, kata pendakwa raya.

Wee didakwa di mahkamah untuk kesalahan-kesalahan tersebut pada Julai tahun ini. Pada 6 Ogos, dia diberkas polis di rumahnya kerana disyaki melakukan kesalahan dadah.

TUDUHAN BARU KETIKA BEBAS DENGAN IKAT JAMIN

Bahan kanabis ditemui dalam sampel air kencing Wee, dan dia mengaku menghisap ganja sendirian dua hari sebelumnya di dalam bilik tidur.

Pada 14 September tahun ini pula, polis memberkas Wee di wadnya di Institut Kesihatan Mental (IMH) kerana gagal menghadirkan diri di mahkamah. Mereka menemui pod isi semula rokok elektronik di antara barangan kepunyaan Wee, yang dia mengaku adalah miliknya.

Tertuduh diletakkan di bawah pemantauan wajib mulai 16 Disember 2020, namun gagal melaporkan diri untuk ujian kencingnya sebanyak empat kali.

Pada 28 Oktober, seorang pekerja syarikat yang menyediakan khidmat pemantauan elektronik kepada pihak penjara dan mahkamah memfailkan aduan polis berkenaan tag elektronik Wee yang rosak.

Tertuduh bebas dengan ikat jamin pada masa itu, tetapi perlu mematuhi perintah berkurung dan syarat ikat jamin lain termasuk memakai gelang elektronik.

Pada lewat malam 26 Oktober tahun ini, Wee bertengkar dengan ayahnya. Dia tidak berpuas hati kerana ayahnya mengingatkannya untuk tidur awal kerana perlu melaporkan diri ke Biro Narkotik Pusat pada pagi itu.

Remaja itu kemudian menggunakan gunting untuk memotong tag elektroniknya dan meninggalkan rumah lalu menaiki basikal ke rumah seorang kawan.

Apabila ayah Wee sedar anaknya tidak ada di rumah, beliau memanggil polis untuk bantuan kerana tidak dapat menemui anaknya.


Hakim mengarahkan bagi kedua-dua laporan kesesuaian probesen dan laporan kesesuaian menjalani latihan pemulihan.

Penetapan hukuman ditangguhkan ke Disember. 

- CNA/IH/ih

Top