Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja lemas di pantai Changi jadi cemas apabila paras air naik, dihanyut arus kuat: Koroner

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang lemas di pantai Changi tidak tahu berenang dan menjadi cemas apabila paras air laut semakin naik dan beliau tidak lagi dapat menjejak dasar laut, mahkamah koroner diberitahu pada Khamis (18 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja lemas di pantai Changi jadi cemas apabila paras air naik, dihanyut arus kuat: Koroner

Insiden lemas di pantai Changi pada 22/8. (Gambar-gambar: Dari petikan video)

Diterbitkan : 18 Mar 2021 04:58PM Dikemas Kini : 18 Mar 2021 04:59PM

SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang lemas di pantai Changi tidak tahu berenang dan menjadi cemas apabila paras air laut semakin naik dan beliau tidak lagi dapat menjejak dasar laut, mahkamah koroner diberitahu pada Khamis (18 Mac).

Putera Mohammad Indra Shazrine Suzaini dihanyutkan oleh arus kuat bersama seorang lagi teman yang juga tidak tahu berenang. Sementara temannya itu dapat diselamatkan oleh seorang pengunjung di pantai, jasad Putera ditemui para penyelam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sekitar dua jam kemudian.

Koroner Negara Kamala Ponnampalam memutuskan kematiannya sebagai "kejadian malang yang benar-benar tidak diduga" dan menarik perhatian tentang bahaya berenang di laut terbuka, terutama sekali bagi mereka yang tidak tahu berenang.

Mahkamah diberitahu bahawa Putera mengunjungi Taman Pantai Changi pada kira-kira tengah hari 22 Ogos tahun lalu bersama tujuh lagi teman untuk bermain bola sepak, sepak takraw, membina istana pasir dan berkelah.

Pegawai siasatan kes memberitahu mahkamah bahawa kumpulan itu sering berkumpul untuk bermain sepak takraw namun pada hari itu sahaja mereka merancang untuk ke Pantai Changi.

Selepas pukul 3.00 petang, Putera dan dua temannya memutuskan untuk ke laut dan membersihkan pasir daripada tubuh masing-masing. Pada awalnya, mereka berada kira-kira 5 meter dari pantai, dengan paras air sampai ke bahagian pinggang mereka.

ARUS SEMAKIN KUAT, PARAS AIR NAIK

Apabila arus menjadi semakin kuat, ketiga-tiga remaja itu dibawa arus dan pada satu ketika paras air berada lebih tinggi daripada kepala mereka. Kesemuanya mula menjadi cemas dan cuba berenang ke pantai, namun Putera dan seorang lagi teman tidak dapat berenang dan dihanyutkan arus.

Remaja yang dapat berenang ke pantai terdengar salah seorang temannya berteriak: "Saya tidak dapat memijak lantai, tolong, tolong!"

Beliau kemudian mendapatkan bantuan teman-temannya yang lain. Seorang nelayan yang berada berhampiran terdengar teriakan itu melihat Putera dan temannya sedang terkapai-kapai di dalam air. Beliau segera berenang ke arah mereka, menuju ke arah Putera dahulu yang berada lebih jauh dari pantai.

Lelaki itu cuba menarik bahu Putera namun tidak berjaya dan beliau berenang kembali ke pantai setelah sekitar seminit untuk berehat kerana berasa penat dan arus terlalu kuat.

Seorang lagi pengunjung di pantai dapat menyelamatkan teman Putera dan beliau dibawa ke hospital. Remaja itu kemudian berkata Putera cuba memaut padanya sementara beliau sendiri cuba mengapungkan diri. Setelah itu, beliau hanya teringat ditarik ke pantai dan dibawa ke hospital.

Polis dimaklumkan tentang kejadian itu pada kira-kira pukul 3.30 petang dan SCDF tiba tidak lama kemudian.

Pasukan Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (DART) tiba tidak lama kemudian dan mula mencari Putera sebelum menemui jasadnya kira-kira 15 meter daripada pantai pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Satu bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematiannya akibat lemas.

Menurut laporan pasang surut air laut yang dibaca di mahkamah, paras laut pada ketika itu adalah kira-kira 2.8 meter dan dan mencecah 4 meter pada pukul 4.00 petang. Hujan renyai-renyai dan sederhana dilaporkan selama kira-kira sejam sehingga pukul 3.20 petang diikuti dengan guruh dan kilat selepas itu.

TIDAK TAHU BERENANG NAMUN PERNAH KE KOLAM RENANG

Siasatan mendedahkan bahawa teman-teman dan ibu Putera tahu Allahyarham tidak tahu berenang, namun Putera sekali-sekala akan ke kolam renang untuk bermandi-manda.

Ibu Putera berkata beliau sedar anaknya berhasrat untuk ke Pantai Changi bersama teman-temannya pada hari tersebut. Allahyarham telah menelefonnya terlebih awal namun beliau terlepas menjawab panggilan itu dan kemudian menghubunginya selepas itu setelah mendapat tahu beliau ingin ke tepi pantai bersama teman-temannya.

Menurutnya, Allahyarham tidak pernah belajar berenang namun sering ke kolam renang untuk bermandi-manda.

Koroner berkata kanak-kanak dan mereka yang tidak tahu berenang tidak sedar betapa kuatnya arus di laut.

Beliau menyampaikan takziah kepada keluarga Putera atas kehilangan mereka.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan