Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 18 tahun mengaku bersalah belasah mangsa dengan belantan dalam serangan samseng

Seorang lelaki mengaku bersalah pada Jumaat (14 Jun) atas pelibatannya dalam serangan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di Serangoon Road tahun lalu yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian tubuh dan sebahagian kakinya terpaksa dikudungkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 18 tahun mengaku bersalah belasah mangsa dengan belantan dalam serangan samseng

Gambar yang dimuat naik ke Facebook menunjukkan para pegawai polis merawat seorang lelaki selepas beliau diserang di 202 Serangoon Road. (Gambar: KP Lau/Facebook)

Diterbitkan : 14 Jun 2019 07:04PM Dikemas Kini : 14 Jun 2019 07:17PM

SINGAPURA: Seorang lelaki mengaku bersalah pada Jumaat (14 Jun) atas pelibatannya dalam serangan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di Serangoon Road tahun lalu yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian tubuh dan sebahagian kakinya terpaksa dikudungkan.

Sharvin Raj Surah, 18 tahun, mengaku bersalah kerana merusuh menggunakan senjata berbahaya, memiliki senjata berbahaya dan menganggotai kumpulan kongsi gelap.

Tiga lagi tuduhan, termasuk merusuh dengan orang lain untuk mencederakan tiga mangsa, turut diambil kira bagi tujuan menjatuhkan hukuman.

Sharvin, yang ditahan reman sejak Januari, bersama empat lelaki lain bersemuka dengan mangsa di Serangoon Road pada 25 Julai tahun lalu dalam serangan yang disifatkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam sebagai "kejam".

Salah seorang anggota kumpulan Sharvin, Arjun Retnavelu, disuruh mengawasi mangsa kerana Arjun pernah berselisih dengannya dan ingin membalas dendam.

Kesemua lima lelaki berada di dalam sebuah kereta di Serangoon Road petang itu apabila Arjun ternampak mangsa di perhentian bas. Para anggota lain kumpulan itu juga ingin membalas dendam kerana pernah bertikai dengannya.

Arjun memberitahu kumpulan itu bahawa dia ternampak mangsa dan pemandu kereta berkenaan kemudian menghentikan kenderaan di tepi jalan. Arjun mengeluarkan peti mengandungi senjata termasuk pedang samurai, belantan dan pisau pemotong daging dari but kereta.

SENJATA PILIHAN: PEDANG SAMURAI, PEMOTONG DAGING, BELANTAN

Arjun mengambil pisau pemotong daging sementara Sharvin pula mengambil belantan dan pemandu kereta tersebut memilih pedang samurai. Dua lagi lelaki dalam kumpulan itu tidak membawa senjata.

Mereka mendekati mangsa lalu menyerangnya dengan mengelar, memukul, menumbuk dan menerajangnya. Semasa pergaduhan itu, Sharvin memukul mangsa dengan belantan yang kemudian dikutip Arjun apabila pisaunya terlepas dari pegangannya.

Kumpulan itu melarikan diri ke rumah rakan mereka di Yishun, di mana mereka meninggalkan pedang samurai dan belantan.

Mengetahui bahawa polis sedang memburu mereka, kumpulan itu berpindah ke rumah saudara Arjun di Estet Perindustrian Sin Ming dalam teksi-teksi berasingan dan membuang pakaian mereka ke dalam tong sampah di situ.

Mereka semua diberkas sehari selepas serangan tersebut.

Mangsa dikejarkan ke hospital dengan sebahagian kaki kanannya kudung dan tangan, bahagian belakang tubuh dan kepalanya turut cedera.'

Beliau menjalani beberapa pembedahan dan dirawat di hospital selama seminggu dan diberi cuti hospital selama tiga bulan.

Sharvin juga mengaku memiliki pisau sepanjang 19 sentimeter dalam sakunya ketika berada di sebuah kedai kopi sebulan selepas insiden di Serangoon Road itu.

SHARVIN MAHU BERGADUH KETIKA DIIKAT JAMIN

Semasa dia dibebaskan dengan ikat jamin, Sharvin melakukan kesalahan serupa terhadap seorang lagi mangsa, juga dengan pelibatan Arjun.

Sharvin bersama dengan Arjun dan empat lelaki lain di sebuah kelab malam di Dalhousie Lane pada 2 Januari tahun ini apabila Arjun ternampak seorang lelaki berusia 25 tahun yang pernah bertikai dengannnya.

Arjun meminta mangsa supaya keluar dari kelab malam Nilaa Music Lounge dan bersemuka dengannya untuk menghuraikan perbalahan mereka. Namun mangsa enggan berbuat demikian dan melarikan diri.

Setelah kelab malam itu tutup, kumpulan lelaki itu pulang tetapi mereka ternampak mangsa sedang turun dari teksi di Ang Mo Kio.

Lelaki-lelaki itu kemudian turun dari kenderaan lalu mengejar mangsa tetapi mereka gagal menahannya.

Polis tiba di tempat kejadian dan memeriksa kumpulan itu serta kereta yang dinaiki mereka. Polis menemui pisau lipat dan senjata buku lima dalam kenderaan itu.

Hakim Daerah May Mesenas mengarahkan supaya laporan dibuat untuk menilai sama ada sesuai untuk Sharvin menjalani probesyen dan latihan pemulihan.

Sharvin adalah lelaki pertama dalam kalangan kumpulan lelaki terbabit yang mengaku bersalah. Kes-kes terhadap empat lelaki tersebut masih disiasat. 

Sumber : CNA/ZM/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan