Images
  • handcuff generic
    (Gambar hiasan: Jeremy Long)

Remaja 18 tahun diberkas disyaki terbabit kes serangan seksual

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 18 tahun diberkas kerana disyaki terbabit dengan kes serangan seksual pada September, menurut polis pada Rabu (24 Nov).

Kejadian itu berlaku di sebuah kediaman di Towner Road pada 21 September.

Menurut polis, pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai kes itu pada 22 November setelah satu video dimuat naik ke media sosial di mana remaja itu dipercayai mengaku melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Dia diberkas pada keesokan hari.

"Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan jika terdapat mangsa lain yang turut terbabit," menurut polis.

Remaja lelaki itu akan didakwa pada Khamis (25 Nov) atas tuduhan melakukan serangan seksual. Dia akan ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, didenda atau disebat.

Polis memandang serius terhadap kesemua aduan serangan seksual dan tidak akan teragak-agak untuk memastikan para pelaku diheret ke muka keadilan.

"Mangsa serangan seksual digalakkan supaya melaporkan jenayah sedemikian," menurut polis.

"Polis mengambil pendekatan yang akan melindungi mangsa dalam siasatan kes jenayah seksual dan mangsa akan dikendalikan secara sensitif sepanjang proses siasatan."

- CNA/HA/ha

Top