Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 16 tahun antara 203 suspek disiasat terlibat kegiatan pinjaman wang tanpa lesen

Seorang remaja 16 tahun antara 203 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tidak berlesen, menurut polis hari ini (31 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 16 tahun antara 203 suspek disiasat terlibat kegiatan pinjaman wang tanpa lesen

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 31 Oct 2021 04:58PM Dikemas Kini : 31 Oct 2021 05:12PM

SINGAPURA: Seorang remaja 16 tahun antara 203 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tidak berlesen, menurut polis hari ini (31 Okt).

Para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat menjalankan serbuan serentak merata negara menerusi operasi dua minggu antara 18 dengan 29 Oktober.

Siasatan terhadap kesemua suspek berusia antara 16 dengan 71 tahun sedang dijalankan, menurut polis dalam satu kenyataan media.

Siasatan awal mendedahkan bahawa 48 suspek dipercayai orang tengah, yang membantu perniagaan pinjaman wang tidak berlesen dengan melakukan pemindahan ATM.

Lagi 11 pula dipercayai mengganggu peminjam di rumah-rumah mereka.

Baki 14 suspek didakwa membuka akaun bank, menyediakan kad ATM dan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) serta token Perbankan Internet kepada para pemiutang wang haram untuk memudahkan perniagaan mereka.

"Di bawah Akta Pemiutang (Edisi Semakan Semula 2010), apabila akaun bank, kad ATM atau token Perbankan Internet mana-mana individu digunakan untuk memudahkan pinjaman wang oleh pemiutang tidak berlesen, individu tersebut dianggap membantu menjalankan perniagaan pinjaman wang tidak berlesen," menurut polis.

Jika didapati bersalah menjalankan atau memudahkan perniagaan pinjaman wang tidak berlesen, pesalah kali pertama boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda antara S$30,000 dengan S$300,000 dan dikenakan enam sebatan rotan.

Mereka yang disabit kesalahan melakukan atau cuba melakukan sebarang tindakan menganggu bagi pihak pemiutang tidak berlesen, pesalah kali pertama boleh dijel sehingga lima tahun, didenda antara S$5,000 dengan S$50,000 dan dikenakan antara tiga dengan enam sebatan rotan.

Polis menyatakan pihaknya akan terus mengambil "tindakan penguatkuasaan tegas" terhadap mereka yang terbabit dalam perniagaan pinjaman wang tidak berlesen, tidak kira peranan mereka. Ini termasuk mereka yang membuka atau memberi akaun bank untuk membantu para pemiutang tidak berlesen.

"Para pemiutang tidak berlesen semakin banyak menggunakan pesanan ringkas atau platform online untuk menghantar iklan-iklan hutang tanpa diminta," tambah polis.

Orang ramai diingatkan supaya tidak menjawab atau memberi respons kepada iklan-iklan sedemikian dan melaporkan pesanan-pesanan itu sebagai spam.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan