Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rekod S$236 juta bantuan ComCare dihulurkan kepada keluarga memerlukan

Keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan pertolongan kewangan menerima bantuan yang mencecah paras rekod sebanyak S$236 juta daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menerusi pelbagai skim ComCare.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2021 07:22PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 10:33PM

SINGAPURA: Keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan pertolongan kewangan menerima bantuan yang mencecah paras rekod sebanyak S$236 juta daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menerusi pelbagai skim ComCare.

Bantuan itu dihulurkan di tengah-tengah kegawatan ekonomi angkara COVID-19 sepanjang 12 bulan sehingga 31 Mac 2021.

Nilai bantuan itu 56 peratus lebih tinggi berbanding S$151 juta yang disalurkan pada tahun kewangan sebelum ini yang berakhir pada 31 Mac 2020, menurut MSF dalam kenyataan medianya pada Rabu (13 Okt).

Ia juga merupakan jumlah tertinggi yang diagihkan kepada keluarga-keluarga memerlukan sejak Dana ComCare dilancarkan pada 2005.

Peningkatan pada bantuan kewangan itu sebahagian besarnya dipacu oleh lebih banyak keluarga yang menerima bantuan jangka pendek hingga pertengahan yang menyediakan bantuan sementara dalam bentuk wang tunai setiap bulan bagi keluarga-keluarga dengan pendapatan kurang S$1,900 atau kurang daripada S$650 bagi setiap anggota keluarga.

Secara keseluruhannya, jumlah individu yang menerima bantuan ComCare melonjak sekitar 22 peratus kepada kira-kira 96,000 sepanjang tempoh yang sama.

KESAN COVID-19

Bilangan keluarga yang menerima bantuan jangka pendek hingga pertengahan naik 24 peratus kepada sekitar 35,700 penerima bantuan pada tahun kewangan terkini berbanding tahun sebelumnya. Jumlah yang diagihkan meningkat 77 peratus kepada sekitar S$183 juta.

Peningkatan itu sebahagian besarnya kerana MSF perlu melanjutkan tempoh bantuan yang dihulurkan kepada para penerima bantuan ComCare sedia ada sebanyak lagi enam bulan disebabkan oleh kesan pandemik COVID-19. Bantuan wang tunai itu sepatutnya berakhir antara Mei dengan Disember tahun lalu.

Ini berbanding jumlah keluarga yang memerlukan bantuan jangka panjang dan subsidi jagaan pelajar yang kekal konsisten sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

MSF juga mendapati semakin ramai individu dan keluarga yang tinggal di flat lebih besar layak menerima bantuan ComCare.

Jumlah keluarga yang tinggal di flat perumahan awam 1 dan 2 bilik yang menerima bantuan jangka pendek hingga pertengahan merosot kepada 49.1 peratus pada tahun kewangan terkini berbanding 52.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Sebaliknya, jumlah keluarga yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) naik dari 42.1 peratus kepada 44.9 peratus sepanjang tempoh yang sama.

Trend ini berbeza jika dibandingkan dengan empat tahun kewangan sebelum pandemik melanda, di mana jumlah keluarga yang menetap di flat HDB lebih kecil menunjukkan peningkatan.

Satu lagu perbezaan ketara adalah jumlah individu bekerja yang membuat permohonan bagi bantuan jangka pendek hingga pertengahan yang naik 25 peratus pada tahun kewangan terkini berbanding 22.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Jumlah individu yang layak menerima bantuan sementara iaitu bantuan wang tunai dan baucar bagi tempoh kurang tiga bulan juga naik sekitar 21 peratus kepada 9,400 pada tahun kewangan yang lalu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan