Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Reka bentuk bagi semua projek baru HDB mesra alam sekitar

Projek-projek perumahan baru yang dilancarkan mulai bulan Julai akan menerapkan lebih banyak ciri hijau serta lebih selesa didiami, di bawah Rangka Kerja Bandar Biophilic.

Anggaran Waktu Membaca:
Reka bentuk bagi semua projek baru HDB mesra alam sekitar

(Gambar: HDB)

Diterbitkan : 18 Jul 2018 06:54PM Dikemas Kini : 18 Jul 2018 07:00PM

SINGAPURA: Projek-projek perumahan baru yang dilancarkan mulai bulan ini akan menerapkan lebih banyak ciri hijau serta lebih selesa didiami.

Di bawah Rangka Kerja Bandar Biophilic, reka bentuk kawasan-kawasan kejiranan akan menerapkan unsur-unsur alam semula jadi secara bertahap-tahap, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (18 Jul).

Perinciannya didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDB, Dr Cheong Koon Hean, di Kongres Persekutuan Arkitek Landskap Sedunia.

Di bawah rangka kerja tersebut, para perancang bandar akan menimbangkan beberapa unsur penting dalam landskap sesebuah kawasan kejiranan ketika membuat reka bentuk projek-projek perumahan baru.

Ini termasuk jenis tanah yang digunakan bagi menyokong ekosistem.

Aspek flora dan fauna juga akan diterapkan seperti memelihara habitat hidup-hidupan liar serta pertanian di kawasan bandar.

Tumbuh-tumbuhan juga akan ditanam bagi menyerap haba serta bunyi bising dan sistem air akan dipasang bagi mengelak kejadian banjir di samping merawat air hujan.

Sementara itu, ruang-ruang hijau akan disediakan bagi penggunaan sosial dan peribadi.

Daerah pertama yang menggunakan rangka kerja itu ialah Punggol Northshore pada 2015.

Sejak itu, perancangan di daerah tersebut sudah menerapkan unsur-unsur reka bentuk lebih hijau seperti kawasan perlindungan burung, taman kupu-kupu serta taman yang boleh merawat air hujan.

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata perancangan bandar yang memberi tumpuan kepada aspek semula jadi adalah penting, lebih-lebih lagi dengan proses perbandaran yang pesat berlaku di seluruh dunia.

Setakat ini, lapan projek perumahan sudah dilancarkan menerapkan unsur-unsur semula jadi di Punggol Northshore.

Ia menawarkan sekitar 5,700 flat yang akan siap secara bertahap-tahap mulai 2020.   

Sumber : CNA/AZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan