Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rejim pemulihan pesalah dadah diperkukuh di bawah satu pindaan baru yang diusulkan

Pindaan terhadap Rang Undang Undang Penyalahgunaan Dadah diusulkan di Parlimen hari ini (19 Nov) di mana Pemerintah memberi lebih banyak penekanan terhadap aspek pemulihan. Ia mahu menjadikan perbuatan-perbuatan yang mendedahkan golongan kanak-kanak kepada pengambilan dadah sebagai satu jenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
Rejim pemulihan pesalah dadah diperkukuh di bawah satu pindaan baru yang diusulkan

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 Nov 2018 07:34PM Dikemas Kini : 19 Nov 2018 07:36PM

SINGAPURA: Pindaan terhadap Rang Undang Undang Penyalahgunaan Dadah diusulkan di Parlimen hari ini (19 Nov) di mana Pemerintah memberi lebih banyak penekanan terhadap aspek pemulihan. Ia mahu menjadikan perbuatan-perbuatan yang mendedahkan golongan kanak-kanak kepada pengambilan dadah sebagai satu jenayah.

Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Josephine Teo, membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah (Pindaan) itu di Parlimen hari ini (19 Nov).

Akta Penyalahgunaan Dadah merupakan rangka kerja perundangan yang digunakan bagi pengawalan dadah berbahaya. Ia turut memberi kuasa bagi Biro Narkotik Pusat (CNB), dalam urusan rawatan dan pemulihan penyalah guna dadah, di samping menjadikan pelbagai kesalahan dadah sebagai satu jenayah. Kali terakhir akta tersebut dipinda adalah pada tahun 2012.

PERKUKUH REJIM PEMULIHAN

Salah satu peruntukan utama Rang Undang-Undang itu bertujuan untuk memperkukuh rejim pemulihan sedia ada, dan menggunakan pendekatan lebih "tepat", menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). Ini akan membezakan penyalah guna dadah yang berisiko rendah yang hanya mengambil dadah, berbanding pesalah yang melakukan kesalahan lain sehingga menjejas masyarakat umum.

Buat masa ini, pesalah yang mengambil dadah dan diberkas buat kali pertama dan kedua akan menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah. Mereka yang diberkas buat kali ketiga atau lebih akan dipenjara buat jangka panjang (LT).

LT dikuatkuasakan pada 1998 bagi melindungi orang awam daripada pesalah dadah bentan yang akan melakukan jenayah bagi memenuhi tabiat mereka. Ia menghukum dan mencegah para pesalah daripada pengambilan dadah secara berterusan.

Di bawah pindaan yang diusulkan, para pesalah pertama yang tidak berdepan dengan pertuduhan jenayah lain, dan didapati tidak berisiko untuk mengulangi tindakan menyalahgunakan dadah oleh CNB, akan diletakkan di bawah Arahan Penyeliaan Langsung Dipertingkat (EDSO), satu perintah bukan tahanan, sehingga lima tahun.

Selain diawasi CNB, seorang pengurus kes juga akan mendampingi pesalah di bawah EDSO yang akan menyediakan sokongan kepada mereka dan keluarga masing-masing.

Pada sisi lain, pesalah kali pertama dan kedua yang didapati berkemungkinan terus menagih dadah akan melalui rejim DRC.

Sebagai sebagian daripada pindaan yang diusulkan, tempoh tahanan maksimum di DRC akan dinaikkan dari tiga tahun kepada empat tahun. Ini bagi para pesalah dadah berisiko tinggi yang memerlukan penahanan lebih lama bagi pemulihan.

Para pesalah di DRC akan menjalani program-program pemulihan mandatori seperti program-program psikologi, program kekeluargaan dan latihan kemahiran. Sebaik sahaja selesai, mereka akan diletakkan di bawah Program berasaskan Masyarakat (CPB), di mana mereka boleh diletakkan dalam rumah peralihan, pada hari dibebaskan dari DRC, atau di rumah dengan memakai satu alat elektronik yang mengesan lokasi pesalah.

Selepas selesai CPB, pesalah seterusnya akan memasuki fasa pengawasan, di mana mereka perlu kerap menjalani ujian air kencing atau ujian sampel rambut. Tempoh maksimum pengawasan di bawah CBP akan dinaikkan dari dua tahun kepada lima tahun di bawah perubahan-perubahan yang diusulkan.

PERANAN 'KRITIKAL' KELUARGA

Pindaan yang diusulkan juga bermatlamat untuk menjadikan tindakan-tindakan yang mendedahkan kanak-kanak kepada dadah sebagai satu kesalahan jenayah, menurut MHA. Ia menambah, CNB beberapa kali mendapati pesalah meletakkan dadah dan alat-alat berkaitan yang digunakan, di tempat yang mudah dijangkaui kanak-kanak.

Tindakan seperti itu akan dijadikan sebagai satu kesalahan, sekiranya mereka tahu bahawa seorang kanak-kanak (bawah 16 tahun) berkemungkinan berada di tempat beliau mengambil dadah, dan dengan cuai meninggalkan dadah atau alat-alat lain sehingga mudah diakses.

Di bawah peruntukan baru Rang Undang-Undang itu, seseorang dewasa dianggap melakukan satu kesalahan jika dia tidak mengambil langkah-langkah sewajarnya demi mencegah seorang individu (bawah 21 tahun) daripada mengambil dadah terkawal yang dimiliki. Pesalah kali pertama boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun di bawah rang pindaan itu.

Memandangkan keluarga juga memainkan peranan "penting" dalam pemulihan pesalah dadah yang masih dalam peringkat umur belia, pindaan itu juga menetapkan bahawa ibu bapa atau waris pesalah bawah 21 tahun diwajibkan menyertai sesi kaunseling, tambah MHA.

Buat masa ini, di bawah skim Pengawasan Dipertingkat Belia (YES), yang diperkenalkan pada 2013 dan disasarkan kepada pesalah belia dengan risiko rendah, ibu bapa pesalah golongan tersebut perlu turut hadir sesi kaunseling. Namun, sebilangan ibu bapa "terus-menerus" tidak hadir sesi-sesi tersebut, menurut MHA.

Maka itu, ibu bapa atau waris yang enggan bekerjasama tanpa sebarang sebab yang munasabah, boleh didakwa dengan hukuman denda atau diarahkan Mahkamah supaya menghadiri sesi-sesi kaunseling.

Antara pindaan lain yang diusulkan bagi Rang Undang-Undang itu termasuk mengklafikasikan "tindakan mempengaruhi (pihak lain)" dengan mempermudah atau menggalak penggunaan dadah.

Ini termasuk secara aktif memperkenalkan seorang pengedar dadah kepada orang lain, meskipun pesalah tahu pengedar berkemungkinan besar akan membekalkan dadah. Turut diusulkan adalah ujian sampel rambut bagi memeriksa pengambilan dadah dan hukuman mandatori sekurang-kurangnya setahun bagi pesalah yang didakwa di Mahkamah atas pengambilan dadah atau gagal mengambil ujian air kencing.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan