Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Red Dot United cabar PAP di GRC Jurong

Parti Titik Merah Bersatu (Red Dot United) akan mencabar Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Jurong. Kedua-dua pasukan itu berjaya memfailkan borang pencalonan mereka di Sekolah Tinggi Nan Hua pada Selasa (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Red Dot United cabar PAP di GRC Jurong

Pasukan PAP dan Pasukan RDU di pusat penamaan calon Sekolah Tinggi Nanhua pada 30 Jun 2020. (Gambar: Cindy Co)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 05:53PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 05:56PM

SINGAPURA: Parti Titik Merah Bersatu (Red Dot United) akan mencabar Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Jurong. Kedua-dua pasukan itu berjaya memfailkan borang pencalonan mereka di Sekolah Tinggi Nan Hua pada Selasa (30 Jun).

Bakal masuk gelanggang untuk bertanding bagi PAP di kawasan undi tersebut adalah Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, Setiausaha Parlimen Kanan Perdagangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar Tan Wu Meng, Cik Rahayu Mahzam dan calon-calon baru, Encik Shawn Huang serta Encik Xie Yao Quan.

“Jika kami dipilih, keutamaan pertama kami adalah untuk membantu semua penduduk kami mengharungi krisis ini - sesiapa yang kehilangan pekerjaan, sesiapa yang mempunyai anak untuk dijaga, sesiapa yang ada orang tua dengan keperluan jagaan," kata Encik Tharman dalam ucapannya selepas berjaya menyerahkan borang pencalonannya.

“Tetapi kami juga mahu terus bertambah baik dan membangunkan apa yang telah dikecapi sepanjang tahun-tahun lalu. Kerja kami tidak pernah terhenti untuk membina sebuah masyarakat Jurong yang lebih kukuh dan lebih mesra."

Encik Tharman mengumumkan pencalonan Encik Xie pada Isnin. Encik Xie menggantikan pengurus besar Keppel Offshore and Marine, Ivan Lim, yang menarik diri daripada Pilihan Raya Umum setelah kritikan mengenai tingkah lakunya muncul di media sosial.

Pasukan daripada Red Dot United, parti pembangkang terbaru Singapura, termasuk pengasas parti yang juga mantan anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) - Ravi Philemon dan Michelle Lee, Cik Liyana Dhamirah, Encik Nicholas Tang dan Encik Alec Tok Kim Yam.

Cik Lee berkata: "Bagi Red Dot United, pilihan raya ini bukan tentang menang atau kalah. Ia adalah tentang menyuarakan pendapat. Ia tentang suara rakyat di Jurong diambil kira juga."

“Kami tidak boleh elak daripada pertarungan kerana ia akan menjadi satu pertarungan yang sengit. Kami mahu menunjukkan kepada anak-anak kami serta penduduk kami bahawa ada harapan dan kami boleh membuat satu perbezaan dan suara kami didengari."

Red Dot United mengumumkan rancangannya untuk bertanding di GRC Jurong awal bulan ini.

Pada 2015, pasukan PAP di GRC Jurong meraih undian tertinggi dalam kalangan pasukan PAP iaitu memperolehi sebanyak 79.3 peratus undi. Pasukan 2015 meliputi Encik Tharman, Dr Tan, Cik Rahayu, Encik Desmond Lee dan Encik Ang Wei Neng.

Dipimpin oleh PAP sejak penubuhannya pada 2001, GRC Jurong dengan lima anggota itu mempunyai 131,234 pengundi tahun ini.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan