Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rayuan belas kasihan pengedar dadah warga M'sia yang dihukum mati 'dipertimbangkan dengan teliti'

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan rayuan bagi memohon belas kasihan yang dikemukakan oleh seorang lelaki warga Malaysia yang menghadapi hukuman mati sudah "dipertimbangkan dengan teliti".

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan belas kasihan pengedar dadah warga M'sia yang dihukum mati 'dipertimbangkan dengan teliti'

Gambar fail Mahkamah Tinggi.

Diterbitkan : 24 May 2019 09:29AM Dikemas Kini : 24 May 2019 09:30AM

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan rayuan bagi memohon belas kasihan yang dikemukakan oleh seorang lelaki warga Malaysia yang menghadapi hukuman mati sudah "dipertimbangkan dengan teliti".

Atas nasihat Kabinet, Presiden Halimah Yacob menolak rayuan belas kasihan Pannir Selvam Pranthaman yang dijadual menjalani hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah heroin, menurut MHA.

Rayuan Pannir Selvam untuk menggantung pelaksanaan hukuman tersebut dibenarkan pada Khamis (23 Mei), sehari sebelum dijadual menjalani hukuman itu. Dia meminta diberikan lebih masa untuk memfailkan permohonan baru untuk mencabar proses rayuan bagi memohon belas kasihan. Rayuannya diluluskan oleh pihak mahkamah.

"Ruangnya sangat terbatas untuk mencabar proses rayuan bagi memohon belas kasihan. Sungguhpun demikian, dalam proses kehakiman kami, pemohon harus diberi peluang sewajarnya untuk mendapatkan nasihat guaman sama ada dia akan berjaya membuat rayuan," kata Hakim Besar Sundaresh Menon.

Pannir Selvam dan keluarganya dimaklumkan secara bertulis tentang keputusan presiden untuk menolak rayuannya termasuk tarikh hukuman tersebut akan dilaksanakan, seminggu lebih awal.

Menurut Hakim Besar, ini tidak memberikan banyak masa kepada Pannir Selvam untuk mendapatkan nasihat guaman berhubung pilhan yang ada untuk mencabar pelaksanaan hukuman tersebut.

Dalam afidavitnya Pannir Selvam mempersoalkan tentang ketelusan proses rayuan bagi memohon belas kasihan, sambil berkata dia "terkejut" apabila surat dari Istana berhubung penolakan rayuannya dan surat dari Jabatan Penjara Singapura yang memaklumkan tentang hukumannya, kedua-duanya bertarikh 17 Mei.

"Ini bermakna keputusan pihak penjara untuk meneruskan hukuman dibuat sebelum rayuan ditolak oleh Presiden," menurutnya.

MHA bagaimanapun menegaskan bahawa Presiden Halimah memberi arahan pada 7 Mei untuk memaklumkan Pannir Selvam dan keluarganya bahawa hukuman itu tetap akan diteruskan.

Menurut afidavit Encik Benny Lee, ketua setiausaha sulit Presiden, pihak Istana sudah menghantar surat kepada Jabatan Penjara Singapura pada 14 Mei untuk dimaklumkan kepada Pannir Selvam dan keluarganya.

Pannir Selvam dan keluarganya kemudian dimaklumkan tentang surat dari Istana yang bertarikh 17 Mei. Lagi sepucuk surat dari Jabatan Penjara Singapura, dengan tarikh yang sama, memaklumkan mereka tentang hukuman yang akan dijalankan.

MHA juga memberikan respons kepada laporan-laporan media Malaysia yang mendakwa bahawa Pannir Selvam "secara tidak wajar tidak diberikan Certificate of Substantive Assistance yang mungkin dapat menyelamatkannya daripada hukuman mati mandatori".

"MHA turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil oleh Pendakwa Raya, berdasarkan sama ada pesalah memberikan bantuan yang secukupnya kepada pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di Singapura," menurut kementerian itu.

"Pendakwa Raya mendapati dia tidak melakukan demikian".

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, penyeludup dadah yang disahkan oleh pendakwa raya sebagai sudah secukupnya membantu Biro Narkotik Pusat dalam siasatannya atau membuktikan diri mereka kurang daya mental, boleh dilepaskan daripada hukuman mati mandatori dan sebaliknya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

MHA turut membentangkan fakta-fakta kes tersebut.

Pannir Selvam didakwa dan didapati bersalah menyeludup bahan terlarang sebarang 1.8 kilogram, yang mengandungi sekurang-kurangnya 51.84 gram heroin, menurut kementerian tersebut.

Dia dijatuhi hukuman mati pada 2 Mei 2017. Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika heroin yang diseludup melebihi 15g.

Dadah yang diseludup Pannir Selvam "cukup untuk disalah guna lebih 600 penagih dadah bagi tempoh selama seminggu", tegas MHA.

Pannir Selvam diwakili oleh para peguam semasa perbicaraan dan juga semasa mengemukakan rayuannya, yang ditolak pada 9 Februari tahun lalu, tambah MHA.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan