Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rawatan wajib 3 tahun bagi lelaki skizofrenia lempar tulang babi mentah di masjid

Seorang lelaki berusia 58 tahun dikenakan perintah rawatan wajib selama tiga tahun pada Rabu (13 Okt) kerana mencampak tulang babi mentah ke arah balkoni sebuah masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Rawatan wajib 3 tahun bagi lelaki skizofrenia lempar tulang babi mentah di masjid

Lim Beng Wei, 57 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan gangguan awam pada awal tahun ini. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 13 Oct 2021 04:47PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 04:49PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 58 tahun dikenakan perintah rawatan wajib selama tiga tahun pada Rabu (13 Okt) kerana mencampak tulang babi mentah ke arah balkoni sebuah masjid.

Lim Beng Wei yang langsung tidak mengambil ubat-ubatan yang diberikan kepadanya untuk merawat skizofrenia, mengaku bersalah bulan lalu atas satu tuduhan mengganggu ketenteraman awam pada awal tahun ini.

Dia mengalami gangguan mental bagi tempoh lebih 20 tahun dan mengalami gangguan tersebut dua kali sebelum ini.

Hakim Daerah Kessler Soh turut mengambil kira lagi dua tuduhan lain - satu berkaitan perbuatan membaling mentega pada tembok Singapore Music Box Museum - semasa menjatuhkan hukuman.

Perintah rawatan wajib adalah pilihan hukuman masyarakat yang ditawarkan kepada pesalah yang mengalami masalah mental sehingga menyumbang kepada perbuatan jenayah.

Pesalah perlu menjalani rawatan dengan seorang ahli psikiatri yang dilantik mahkamah bagi tempoh sehingga tiga tahun.

Ini bukan kali pertama Lim dikenakan perintah rawatan sedemikian.

Pada 2019, dia dikenakan perintah rawatan wajib selama dua tahun kerana memecahkan panel kaca pada lif di kejiranannya kerana percaya ia menyimpan roh jahat.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa pada pagi 14 Januari tahun ini, Lim membeli sebungkus tulang babi mentah dari cawangan pasar raya NTUC FairPrice di Tanjong Pagar.

Dia kemudian pergi ke Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street, yang terletak berhampiran Singapore Music Box Museum.

Apabila tiba di masjid tersebut sekitar pukul 11.00 pagi, dia berdiri di luar masjid dan melemparkan salah satu tulang babi mentah itu ke arah balkoni di tingkat dua masjid.

Sekitar dua jam kemudian, polis menerima panggilan daripada seorang kakitangan muzium yang mengadu seseorang membaling mentega pada tembok luar muzium berkenaan.

Apabila para pegawai polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kamera-kamera berhampiran kedua-dua bangunan itu untuk mengenal pasti identiti pelaku yang membaling mentega, mereka melihat Lim berjalan ke arah masjid dengan satu beg plastik putih beberapa jam sebelum itu.

Dokumen mahkamah menunjukkan Lim melempar satu lagi tulang babi mentah di masjid yang sama dua hari sebelum insiden tersebut.

Seorang ahli psikiatri mendapati masalah skizofrenia lelaki itu kambuh ketika melakukan kesalahan-kesalahan tersebut. Gejala psikotiknya menyumbang kepada tindakan itu dan dia mengaku hanya mematuhi sebahagian daripada arahan perubatannya.

Bagaimanapun, dia bukan tidak berfikiran waras dan menyedari jenis serta kesan tindakannya itu, jelas ahli psikiatri tersebut.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana mengganggu ketenteraman awam boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.   

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan