Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian HEART gabung sumber tangani kesan psikologi pasca serangan pengganas

Pihak hospital dan poliklinik akan bekerjasama dengan pelbagai agensi pemerintah untuk menyediakan bantuan psikologi dan sokongan emosi kepada masyarakat sekiranya berlaku serangan pengganas.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Jul 2019 08:25PM Dikemas Kini : 10 Jul 2019 10:06PM

SINGAPURA: Pihak hospital dan poliklinik akan bekerjasama dengan pelbagai agensi pemerintah untuk menyediakan bantuan psikologi dan sokongan emosi kepada masyarakat sekiranya berlaku serangan pengganas.

Ia merupakan sebahagian daripada rangkaian HEART atau Pasukan Bertindak Bantuan Kecemasan Manusia yang baru dibentuk. Rangkaian itu akan menggabungkan sumber-sumber bagi menangani kesan psikologi menyusuli sesuatu serangan.

Siri serangan pengganas di Sri Lanka pada April lalu bukan saja meragut nyawa lebih 250 orang, tetapi juga memberikan kesan mendalam.

Pakar-pakar psikologi berkata ramai yang berasa amat bimbang, takut dan kurang yakin terhadap masa depan mereka.

Begitu juga keadaannya selepas serangan pengganas di New Zealand pada Mac lalu, yang menyebabkan lebih 50 orang terbunuh.

Talian bantuan kesihatan mental negara itu menerima lebih 10,000 panggilan selepas kejadian tersebut.

Jika hal serupa berlaku di Singapura, pihak berkuasa berpendapat adalah amat penting bagi agensi-agensi perkhidmatan awam untuk bekerjasama dalam proses pemulihan dari segi psikologi.

"Tidak cukup jika hanya ada keupayaan menghentikan serangan. Genting juga untuk menyiapkan masyarakat bagi pemulihan psikologi, menyusuli satu serangan pengganas.

"Jika dan bila serangan pengganas berlaku, kehilangan nyawa dan harta benda akan mengejutkan tetapi hilang harapan dan keyakinan merupakan satu bencana," kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Josephine Teo.

Walaupun pengajaran boleh diambil daripada peristiwa di Sri Lanka dan New Zealand, pakar-pakar berkata ada perbezaan dalam cara untuk Singapura bertindak.

Penyelidik di Institut Kesihatan Mental Jepun, Dr Ryoko Ohtaki, berkata memandangkan Singapura adalah sebuah negara berbilang budaya, pendekatan dan sokongan yang diberikan perlu mengambil kira juga konteks budaya dan agama.

Pihak hospital dan poliklinik di negara ini akan bergabung sumber, kepakaran dan pengetahuan dalam memberikan sokongan dan perkhidmatan kepada para mangsa.

Ketua Pakar Psikologi Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Dr Majeed Khader berkata matlamatnya adalah tindakan pemerintah yang bersepadu dan lancar, dengan rangkaian pegawai yang kenal satu sama lain. Ini kerana apa yang perlu dielakkan adalah para karyawan yang tidak mengenali dan tidak menyokong satu sama lain.

Rangkaian HEART dilancarkan di Persidangan Asia mengenai Jenayah dan Operasi Psikologi (ACCOP) yang dihadiri 430 peserta dari 13 buah negara.

Selain isu pengganasan, sidang itu turut memberi tumpuan kepada ancaman-ancaman lain seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah siber. 

Sumber : CNA/AA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan