Images
  • tembakau
    Desain kotak rokok yang disarankan. (Gambar: Kementerian Kesihatan)

Rang Undang-Undang selaraskan pembungkusan produk tembakau diluluskan

SINGAPURA: Sekatan-sekatan baru ke atas pembungkusan produk tembakau akan diperkenalkan di Singapura, selepas pindaan Rang Undang-Undang Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) diluluskan di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Semua produk tembakau akan dijual dalam pembungkusan yang diselaraskan dengan warna yang sama tanpa sebarang logo, gambar jenama mahupun maklumat pemasaran produk.

Jenama dan nama produk hanya dibenarkan dicetak dalam warna dan gaya fon yang standard.

Grafik amaran kesihatan juga perlu dicetak sekurang-kurangnya 25 peratus lebih besar daripada yang sedia ada.


Rakan-rakan industri akan diberikan taklimat tentang syarat-syarat baru dan dijangka akan diberi tempoh antara sembilan hingga 12 bulan untuk membuat perubahan tersebut.

Meskipun para Anggota Parlimen menyokong usulan tersebut, ada juga yang bimbang pembeli akan memilih produk-produk tembakau lebih murah, memandangkan mereka tidak dapat membezakan produk-produk dalam pasaran.

Menjawab soalan itu, Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong berkata, trend seperti itu disebabkan strategi penentuan harga industri tembakau yang boleh ditangani Pemerintah.

"Sebarang kesan terhadap peningkatan permintaan boleh dihuraikan dengan langkah-langkah untuk menaikkan harga mutlak jenama-jenama murah, misalnya, dengan menaikkan cukai tembakau," kata Encik Tong.

Di samping itu, mereka yang menjual produk-produk tembakau tanpa lesen sah akan dikenakan hukuman lebih berat.

Para pesalah kali pertama kini akan didenda S$10,000 berbanding S$5,000 sementara pesalah berulang akan dikenakan denda S$20,000, naik daripada S$10,000 sebelum ini.  

- CNA/AQ/aq

Top