Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai pengguna laman judi online bukan penjudi kali pertama

Sebahagian besar warga siber yang melungsuri lelaman judi online yang dikendalikan oleh Singapore Pools dan Singapore Turf Club bukanlah penjudi kali pertama.

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai pengguna laman judi online bukan penjudi kali pertama

Orang ramai di depan Singapore Pools. (Gambar: Christy Yip)

Diterbitkan : 28 Feb 2018 01:57PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 01:59PM

SINGAPURA: Sebahagian besar warga siber yang melungsuri lelaman judi online yang dikendalikan oleh Singapore Pools dan Singapore Turf Club bukanlah penjudi kali pertama.

Demikian didedahkan oleh Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo di Parlimen hari ini (28 Feb).

Merujuk kepada perangkaan yang diserahkan oleh kedua-dua pengendali, Cik Teo berkata lebih sepertiga pemegang akaun online Singapore Pools sebelum ini merupakan pemegang akaun judi melalui telefon.

Bagi Singapore Turf Club, jumlahnya adalah empat perlima daripada para pemegang akaunnya.

Dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai akaun judi menerusi telefon sebelum ini, lebih 95 peratus menyatakan mereka berjudi dengan pengendalinya sejak 12 bulan lalu, tambah beliau.

"Ringkasnya, sebahagian besar daripada mereka bukanlah penjudi kali pertama," jelas Cik Teo sebagai respons terhadap soalan yang ditanya oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leon Perera dari Parti Pekerja (WP).

Beliau berkata tidak mungkin untuk mengenal pasti sama ada para pemegang akaun sedemikian itu hanya bertukar kepada wadah yang baru dari wadah yang sebelumnya atau menambah jumlah taruhan mereka.

Walau bagaimanapun, sejauh ini tiada bukti menunjukkan taruhan melonjak dengan dua pengendali Singapura itu, sejak khidmat perjudian online dimulakan pada 2016, kata Cik Teo.

Pada 2017, pendapatan bagi Singapore Pools dan Singapore Turf Club meningkat 2.6 peratus, serupa dengan purata pertumbuhan 2.4 peratus antara Tahun Kewangan 2012 dengan Tahun Kewangan 2015.

Selain itu, pasaran perjudian online tempatan yang dikendali secara haram tumbuh 0.3 peratus pada 2017, lebih rendah berbanding purata kadar pertumbuhan tahunan iaitu 3.1 peratus antara tahun 2012 dengan 2016, tambah Cik Teo sambil merujuk perangkaan daripada firma perunding perjudian H2GC.

Kedua-dua pengendali loteri Singapura itu diberi kelulusan untuk menguruskan wadah-wadah perjudian online pada bulan September 2016.

Pada waktu itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa kedua-duanya "didapati sesuai" untuk dikecualikan daripada Akta Perjudian Online (RGA), yang dikuat kuasa pada bulan Februari 2015.

Sekalipun begitu, Singapore Pools dan Singapore Turf Club perlu mengambil langkah-langkah perlindungan, seperti memastikan hanya mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas boleh membuka akaun penjudian dan tidak membuat taruhan secara kredit.

Mereka juga diwajibkan menetapkan had taruhan harian. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan