Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai kurang tahu tentang pengesanan dan rawatan autisme

Penting dilakukan pengesanan dan campur tangan awal bagi membantu kanak-kanak autisme berdikari.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penting dilakukan pengesanan dan campur tangan awal bagi membantu kanak-kanak autisme berdikari.

Atas usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme Sekolah Perubatan Lee Kong Chian menganjurkan Pesta Keluarga bagi Austime, hujung minggu lalu bagi berkongsi cara-cara membantu menguruskan anak yang mengalami autisme.

"Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai ciri-ciri autisme, jangan lengah. Anda mesti cuba dapatkan diagnosis, tanya kepada siapa-siapa".

Demikian pesanan Dr Elly Sabrina, seorang doktor keluarga yang juga mempunyai seorang anak yang mengalami autisme.

RAMAI MASIH BELUM DAPAT KENAL PASTI CIRI-CIRI AUTISME

Buat pertama kalinya hujung minggu lalu, beliau menyentuh tentang topik autisme untuk berkongsi pengalaman membesarkan anak perempuannya yang mengalami kondisi itu.

Menurut beliau, ramai yang masih ragu-ragu sama ada apa yang dialami anak mereka merupakan ciri-ciri autisme ataupun mengalami masalah lewat perkembangan kognitif.

Maka itu penting bagi ibu bapa mendapatkan pengesahan awal doktor bagi menangani anak autisme.

"Sementara menunggu, kita boleh mulakan program-program intervensi kerana lebih awal anda mulakan program intervensi, lebih cerah masa depan mereka untuk kita mengembangkan potensi anak-anak ini," kata Dr Elly Sabrina, penceramah undangan di acara itu.

SENAMAN YOGA & AUTISME

Senaman yoga misalnya dikatakan dapat membantu pertumbuhan holistik dan menjadi terapi untuk anak-anak autisme.

(Gambar: Siti Rohanah Koid‎/ Facebook)

Ini terutamanya dari segi mengurangkan keresahan yang sekaligus boleh menjejas perasaan dan perilaku mereka.

"Bagi mereka yang mempunyai autisme, sudah tentu tahap yang pertama adalah untuk mendapatkan ketenangan fikiran, jadi posturnya adalah lebih asas. Matlamatnya adalah untuk mendapat rasa keyakinan diri dan merasa yang mereka boleh berjaya membuat postur-postur yang dilakukan," kata Cik Norzalina Mohamed, pelatih yoga.

Para pengunjung juga berpeluang mempelajari pelbagai cara lain untuk membantu menguruskan dengan baik kanak-kanak autisme.

Lebih 20 gerai jualan dan kegiatan disediakan dengan hasil kutipan disalurkan ke Pusat Autisme St Andrew (SAAC).

Acara tersebut dianjurkan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian - sebuah gabungan antara Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Kolej Imperial London.

Ia turut disokong rakan-rakan kerja lain termasuk Institut Kesihatan Mental (IMH), SAAC, Perkongsian Autism dan Persatuan Orang-orang Kurang Daya Penglihatan Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan