Images
  • hk1
    (Gambar: AFP/Manan Vatsyayana) 

Rakyat Singapura dinasihati tangguh perjalanan tidak perlu ke Hong Kong: MFA

SINGAPURA: Rakyat Singapura dinasihati agar menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke Hong Kong kerana bantahan-bantahan yang "semakin tidak boleh dijangka" terus diadakan di seluruh bandar itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu nasihat perjalanan pada Jumaat (16 Ogos).

"Rapat besar-besaran telah diadakan di seluruh Hong Kong sejak Jun 2019 dan menjadi semakin sukar dijangkakan. Bantahan-bantahan ini boleh berlaku tanpa atau dengan sedikit amaran dan boleh menjadi ganas," menurut MFA.

Bantahan-bantahan baru-baru ini telah menjejas operasi di lapangan terbang Hong Kong, dengan banyak penerbangan dibatalkan dan para pengunjung terkandas pada 12 Ogos dan 13 Ogos, menurut kementerian itu lagi.

"Rakyat Singapura dinasihati untuk menangguhkan perjalanan tidak perlu ke Hong Kong kerana perkembangan terbaru.

"Sekiranya anda sudah berada di Hong Kong, anda perlu mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri anda, memantau berita tempatan untuk perkembangan terkini dan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan," menurut MFA.

Menurut MFA, rakyat Singapura digalakkan untuk mendaftar online dengan Kementerian Ehwal Luar di https://eregister.mfa.gov.sg.

MFA turut menasihati rakyat Singapura untuk terus berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Rakyat Singapura di Hong Kong juga boleh mengikuti perkembangan terkini dari laman media sosial polis tempatan, menurut MFA.  

- CNA/NA/fz

Top