Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat Singapura di luar negara boleh dapat suntikan COVID-19 sebaik tiba di sini

Singapura bercadang untuk memudahkan warganya yang tinggal di luar negara untuk pulang mendapatkan vaksinasi COVID-19 mereka, dengan membolehkan mereka mendapatkan suntikan dos pertama sebaik tiba di sini dan bukan sesudah menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat Singapura di luar negara boleh dapat suntikan COVID-19 sebaik tiba di sini

Seorang lelaki memetik gambar di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 1 Sep 2021 (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 10:12PM Dikemas Kini : 11 Sep 2021 10:15PM

SINGAPURA: Singapura bercadang untuk memudahkan warganya yang tinggal di luar negara untuk pulang mendapatkan vaksinasi COVID-19 mereka, dengan membolehkan mereka mendapatkan suntikan dos pertama sebaik tiba di sini dan bukan sesudah menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Buat masa ini, warga Singapura yang pulang dari luar negara atau wilayah Kategori II hingga IV perlu menjalani SHN sepenuhnya, sebelum mereka boleh menerima dos pertama vaksin. Ini diikuti dengan dos kedua selang tiga hingga empat minggu kemudian.

"Bagi warga Singapura yang mempunyai komitmen keluarga dan kerja di luar negara, ini menyukarkan mereka untuk pulang ke Singapura bagi mendapatkan suntikan vaksin memandangkan jangka waktu yang lama mereka perlu keluar dari negara yang mereka menetap," kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media bersama pada Sabtu (11 Sep).

Lantaran itu, pihak berkuasa akan melancarkan dua laluan vaksinasi COVID-19 khusus untuk warga Singapura yang tiba melalui Lapangan Terbang Changi dan Terminal Feri Tanah Merah.

Di bawah laluan pertama, warga Singapura yang kembali ke tanah air itu akan menerima dos pertama mereka sejurus ketibaan tanpa perlu menjalani tempoh SHN sepenuhnya. Mereka kemudian boleh kembali ke negara di mana mereka menetap dengan menaiki penerbangan atau feri seterusnya. Untuk mendapatkan dos kedua, mereka mengulangi proses ini.

Langkah-langkah sempadan berkuat kuasa sehingga mereka berangkat pada penerbangan atau feri seterusnya.

Pilihan kedua melibatkan warga Singapura tetap menjalani SHN. Mereka juga akan menerima dos pertama mereka semasa ketibaan, selesaikan tempoh pengasingan mereka di kemudahan khas, dan kemudian menerima dos kedua setelah selang tempoh dos yang diperlukan sebelum kembali ke negara tempat mereka menetap.

Mereka akan dikenakan sekatan sempadan sedia ada bagi ujian sebelum keberangkatan, rejim ujian ketibaan, serta tempoh SHN berdasarkan sejarah perjalanan mereka sepanjang 21 hari sebelumnya.

"Tidak kira mereka berlepas dari negara/wilayah mana, warga Singapura di luar negara akan diminta untuk tinggal di tempat khas yang ditetapkan di mana vaksinasi akan ditawarkan di lokasi, sementara mereka menjalani SHN," tambah MFA dan MOH.

Kementerian-kementerian itu menambah bahawa walaupun vaksin COVID-19 akan dibiayai oleh Pemerintah, warga Singapura dari luar negara akan perlu menanggung sendiri kos perjalanan pulang untuk mendapatkan vaksin itu. Ia merangkumi kos penginapan di tempat yang ditetapkan, ujian swab dan biaya perjalanan.

Sebelum melakukan perjalanan ke Singapura, mereka juga harus mendapatkan kelulusan kemasukan semula sewajarnya dan tiket penerbangan atau feri pulang untuk memastikan bahawa mereka dapat kembali ke negara yang dituju setelah vaksinasi, tambah kementerian-kementerian itu.

Mereka boleh mendaftarkan minat untuk menggunakan salah satu laluan vaksinasi melalui go.gov.sg/vaccinationchannels. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan