Images
  • phil typhoon
    (Gambar: AFP)

Rakyat Singapura di Filipina digesa berada di tempat terlindung sedang Taufan Kammuri membadai

SINGAPURA: Rakyat Singapura di Filipina dinasihati supaya mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan sentiasa berada di tempat terlindung sedang Taufan Kammuri dijangka membadai negara itu pada Isnin (2 Dis).

Kedutaan Singapura di Manila memberi amaran bahawa taufan itu dijangka tiba di daerah Bicol pada Isnin malam.

Hampir 70,000 orang telah meninggalkan rumah mereka di daerah Bicol, kata para pegawai bencana.

"Hujan lebat yang kerap dan berterusan serta angin kencang dijangka untuk beberapa hari akan datang. Kawasan-kawasan tanah rendah mungkin terjejas oleh banjir," menurut kedutaan itu.

"Sila ambil langkah-langkah berwaspada dan kekal berada di tempat terlindung, jauh daripada tingkap-tingkap."


Kammuri dijangka tiba pada lewat Isnin atau awal Selasa dan kemudian melalui selatan ibu kota yang mempunyai kira-kira 13 juta penduduk dan merupakan tuan rumah bagi ribuan atlit yang menyertai temasya Sukan Asia Tenggara.

Pihak berkuasa telah mengarahkan lapangan terbang antarabangsa Manila ditutup sementara sebagai langkah keselamatan dan pencegahan.

Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, mengorbankan ratusan nyawa dan menyebabkan kawasan-kawasan kerap berlaku bencana terus dihimpit kemiskinan.

Siklon paling berbahaya pernah tercatat adalah Taufan 'Super' Haiyan yang menyebabkan lebih 7,300 orang terkorban atau hilang pada 2013.

Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Manila di talian +63 2 8856 9922 antara 8.30pagi hingga 5 petang atau +63 917 860 4740 (talian kecemasan selepas waktu pejabat). 

- CNA/EM/ha

Top