Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura terlalu bergantung pada pekerja pembersihan, enggan kutip sampah: Tinjauan SMU

Penduduk Singapura "sebahagian besarnya" bergantung pada khidmat pembersihan, dengan kurang separuh yang ditinjau berkata mereka bersedia untuk mengutip dan membuang botol plastik kosong yang ditemui di lantai.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura terlalu bergantung pada pekerja pembersihan, enggan kutip sampah: Tinjauan SMU

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Sep 2020 11:28PM Dikemas Kini : 18 Sep 2020 11:29PM

SINGAPURA: Penduduk Singapura "sebahagian besarnya" bergantung pada khidmat pembersihan, dengan kurang separuh yang ditinjau berkata mereka bersedia untuk mengutip dan membuang botol plastik kosong yang ditemui di lantai.

Tinjauan yang dijalankan oleh Universiti Pengurusan Singapura (SMU), yang mengkaji tahap kepuasan orang ramai terhadap kebersihan di sini, juga mendapati lebih ramai rakyat Singapura berpuas hati dengan tahap kebersihan di tempat-tempat awam berbanding tahun lalu.

Tinjauan yang diterbitkan pada Jumaat (18 Sep) itu, dipimpin oleh profesor sosiologi Paulin Tay Straughan dari SMU dan Dr Mathew Mathews, felo penyelidik kanan dari Institut Kajian Dasar (IPS) di Universiti Nasional Singapura.

Seramai 1,716 rakyat Singapura dan penduduk tetap berusia 21 tahun dan ke atas ditinjau antara Disember 2019 hingga April 2020.

TANGGUNGJAWAB PERIBADI

Apabila ditanya apa yang akan mereka lakukan jika berdepan tong sampah yang melimpah ruah, lebih daripada 90 peratus responden berkata penduduk harus membuang sampah mereka di tempat lain.

Namun, 86 peratus responden berkata mereka menjangkakan pekerja pembersihan akan mengosongkan tong sampah itu sepanjang hari bagi mengelakkannya daripada menjadi penuh.

Lebih daripada 90 peratus juga berkata pihak berkuasa harus menuntut piawai lebih tinggi daripada kontraktor pembersihan untuk memastikan tong-tong sampah segera dibersihkan.

Meskipun hampir kesemua responden percaya bahawa penduduk harus digalak menjaga kebersihan kejiranan mereka, kurang daripada separuh daripada mereka akan menyertai kumpulan membersihkan sampah dalam masyarakat secara sukarela.

Hanya 48 peratus responden berkata mereka akan mengutip dan membuang botol plastik kosong yang ditemui di lantai dekat dengan tong sampah. Jumlah tersebut merosot kepada 27 peratus jika tidak terdapat tong sampah berhampiran.

Sementara lebih daripada 90 peratus responden berkata mereka akan menegur teman atau anggota keluarga yang membuang sampah secara merata, hanya 22 peratus berkata mereka akan berbuat demikian terhadap seseorang yang tidak dikenali.

Berhubung memulangkan dulang di tempat-tempat makan, hampir 90 peratus responden berkata mereka berbuat demikian selepas selesai menjamu selera.

Namun 36 peratus pula merasakan tidak jelas jika dulang makan perlu dipulangkan dan 37 peratus pula menganggapnya sebagai tanggungjawab pekerja pembersihan untuk berbuat demikian.

Para pengkaji juga mencadangkan agar pekerja pembersihan mengurangkan tanggungjawab menjaga stesen memulangkan dulang dan memastikan tahap kebersihan di kedai-kedai makan. Dengan itu akan mengurangkan keraguan sama ada pengunjung harus memulangkan sendiri dulang mereka, katanya.

KEBERSIHAN DI TEMPAT-TEMPAT AWAM

Para penduduk mempunyai tahap kepuasan yang tinggi iaitu sebanyak 93 peratus terhadap tahap kebersihan di tempat-tempat awam pada 2019, iaitu kenaikan sebanyak 9 peratus berbanding tahun lalu.

Para pengkaji berkata tahap kepuasan dalam kajian kali ini mungkin lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh usaha pembersihan yang dipertingkatkan bagi menangani COVID-19 pada awal tahun ini.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan