Images
  • imran
    (Gambar: Facebook/Imran Kassim)

Rakyat S'pura pertama didakwa biaya pengganasan didapati bersalah

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura didapati bersalah hari ini (14 Jan) kerana membiayai aktiviti pengganasan dalam kes pertama seumpamanya di Singapura.

Imran Kassim, 36 tahun didapati bersalah atas satu tuduhan membiayai propaganda ISIS dengan memberikan wang berjumlah S$450 kepada seorang lelaki bernama Mohamad Alsaied Alhmidan di Turki pada 31 Oktober 2014.

Selepas satu perbicaraan singkat yang berlangsung hanya beberapa jam, Hakim Daerah Seah Chi-Ling mendapati Imran bersalah, berdasarkan keterangannya kepada para pegawai, pengakuannya di mahkamah serta surat dan resit mengirimkan wang ke luar negara.

Menurut hakim, Imran tahu bahawa wang itu akan digunakan ISIS, iaitu sebuah entiti di bawah Al-Qaeda, yang secara terang-terangan adalah sebuah entiti pengganas.

Dalam keterangannya, Imran mengaku telah mengirimkan wang tersebut sebagai respons kepada satu catatan di Facebook.

Dia percaya bahawa sumbangannya itu akan membawa manfaat kepada pemilik laman Facebook itu, yang ditugaskan untuk mendapatkan sokongan bagi ISIS.

Imran menjawab bahawa dia memberi wang tersebut kerana ia akan "membantu memperluaskan sokongan bagi ISIS", mendapatkan lebih ramai penyokong ISIS dan meningkatkan kesedaran mengenai ISIS.

Pihak pendakwa menggesa agar dia dijatuhi hukuman penjara antara 32 hingga 33 bulan, dengan berhujah bahawa meskipun Imran adalah pesalah pertama dibicarakan atas kesalahan membiayai pengganasan, dia bukanlah individu pertama yang didakwa di mahkamah.

Mereka juga menyenaraikan beberapa faktor termasuk bagaimana Imran melakukan kesalahan itu dengan cara sengaja, bagaimana dia menderma kepada "salah satu kumpulan pengganas paling berbahaya di dunia", dan bagaimana dia "tidak menunjukkan sebarang rasa kesal".

"Dia tidak mengiktiraf undang-undang Singapura, meskipun dia seorang rakyat Singapura yang sudah menikmati kerakyatannya sepanjang hidup," menurut pendakwa.

"Malah, dia memindahkan wang sebagai membantah pelibatan Singapura dalam perang menentang ISIS."

Hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas Imran pada petang hari ini.

Di bawah Akta Pengganasan (Menghentikan Pembiayaan), yang diperkenalkan pada 2002 untuk menghalang pembiayaan pengganasan di Singapura, sesiapa yang didapati bersalah menyediakan hartanah dan khidmat untuk keperluan pengganasan boleh dihukum penjara tidak lebih dari 10 tahun dan denda yang tidak melebihi $500,000, atau kedua-duanya sekali. 

- CNA/NA/na

Top