Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura jahil tentang berita palsu? - Edwin Tong

 Rakyat Singapura tidak jahil atau naif tentang kepalsuan online disengajakan. Bagaimanapun, ada di antara mereka yang bersikap sambil lewa dan tidak memahami bagaimana kepalsuan online boleh menjadi tular dengan begitu cepat.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura jahil tentang berita palsu? - Edwin Tong

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 Oct 2018 10:21AM Dikemas Kini : 29 Oct 2018 10:26AM

SINGAPURA: Rakyat Singapura tidak jahil atau naif tentang kepalsuan online disengajakan. Bagaimanapun, ada di antara mereka yang bersikap sambil lewa dan tidak memahami bagaimana kepalsuan online boleh menjadi tular dengan begitu cepat dan mengakibatkan kemusnahan. Demikian menurut Menteri Negara Kanan Undang-Undang Edwin Tong.

Sebelum perbincangan awam oleh Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online Disengajakan diadakan pada awal tahun ini, Encik Tong - yang duduk dalam jawatankuasa itu berkata rakyat Singapura secara purata mungkin kurang pemahaman tentang bagaimana kepalsuan online boleh dijadikan sebagai senjata.

Encik Tong berkata demikian dalam satu wawancara selama sejam bersama Mediacorp - yang pertama dengan media tempatan sejak beliau menyertai Pemerintah pada Julai. Dalam wawancara itu beliau menyentuh tentang bahaya kepalsuan online dan perlunya memastikan langkah-langkah disesuaikan bagi menanganinya.

Bulan lalu, Jawatankuasa Pilihan 10 anggota itu menyerahkan laporan 273 halaman yang mengandungi 22 saranan kepada Pemerintah.

Saranan-saranan yang dikemukakan termasuk menggubal undang-undang baru dan sekatan jenayah untuk melumpuhkan sumber-sumber kewangan serta memastikan firma-firma teknologi seperti Facebook dan Twitter dipertanggungjawabkan.

Laporan jawatankuasa itu mencetuskan perbincangan hangat, terhadap isu-isu seperti penakrifan tidak jelas mengenai perkara yang boleh dianggap sebagai kepalsuan online disengajakan, dan keprihatinan bahawa undang-undang baru akan menyekat kebebasan untuk bersuara.

Sehari selepas laporan tersebut dikeluarkan, Encik Bilahari Kausikan, seorang diplomat yang sudah bersara berkata dalam satu catatan Facebook bahawa rakyat Singapura "naif" tentang ancaman yang ditimbulkan akibat berita palsu, meskipun ia adalah satu isu utama yang menjejas keselamatan negara.

Beliau memberi contoh bagaimana operasi pengaruh China mungkin akan mengancam perpaduan sosial Singapura.

Encik Tong membalas: "Saya tidak rasa rakyat Singapura naif tentang (kepalsuan online), tetapi terdapat sikap sambil lewa dan kurang kesedaran, di mana ia boleh menjadi lebih teruk lagi."

Sikap sambil lewa itu wujud di pelbagai tahap, jelas beliau.

Pertama, mereka sedar tentang berita palsu tetapi tidak rasa ia akan menjejas Singapura. Kedua, mereka tidak memahami bagaimana negara-negara dan para individu menyasarkan Singapura.

"Kami boleh dijadikan sasaran. Kami mungkin sasaran berharga juga," katanya.
Singapura mudah menjadi sasaran kerana amalan keterbukaan negara ini yang bergantung kepada perdagangan serta ketersambungan internet yang tinggi, tambahnya.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan