Images
  • isis financier
    (Gambar: Facebook/Imran Kassim)

Rakyat S'pura dibicara kerana biayai propaganda ISIS; kes pertama seumpamanya di sini

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura yang dituduh membiayai pengganasan, dibicarakan pada Isnin (13 Jan). Ia merupakan kes pertama seumpamanya di Singapura di bawah Akta Pengganasan (Sekatan Pembiayaan).

Imran Kassim, 36 tahun dituduh menyediakan dana kepada seorang individu di Turki bagi penerbitan propaganda ISIS sekitar enam tahun lalu.

Apabila ditanya sama ada dia mengaku bersalah atau mahu dibicarakan, Imran menjawab: "Saya tidak boleh mengaku bersalah atau sebaliknya kerana saya tidak mengiktiraf undang-undang Singapura. Saya hanya mengiktiraf undang-undang Islam.

Apabila ditanya oleh hakim, Imran menjelaskan bahawa dia merujuk kepada undang-undang Syariah.

"Satu-satunya perkara yang saya akan buat adalah mengaku bahawa saya melakukan pemindahan wang itu," katanya.

Dia didakwa pada April tahun lalu kerana memberikan S$450 kepada seorang individu di Turki pada Oktober 2014 untuk menerbitkan propaganda ISIS.

Dia dipercayai menyalurkan dana itu menerusi Western Union Global Network kepada Mohamad Alsaied Alhmidan.

"Pengganasan adalah wabak rentas sempadan dan Singapura memandang serius terhadap tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat global untuk berusaha membanteras pengganasan, dan pembiayaan pengganasan," kata Timbalan Pendakwa Raya Awam Nicholas Khoo dan Foo Shi Hao.

Menurut Encik Khoo, Imran memindahkan wang itu walaupun mengetahui bahawa ia akan memanfaatkan ISIS "dengan antara lain, meraih lebih banyak sokongan untuk ISIS dan meningkatkan kesedaran tentang ISIS".

Mereka akan membentangkan rekod-rekod mahkamah mengenai pemindahan dana yang dilakukan pada 31 Okt 2014, yang menunjukkan tulisan dan tanda tangan, serta keterangan Imran.

Imran, yang sebelum ini diwakili oleh sebuah firma guaman kini sudah memutuskan untuk mewakili dirinya sendiri dalam perbicaraan tersebut.

Dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Ogos 2017 dan dikenakan perintah tahanan kerana berniat untuk mengangkat senjata dalam keganasan di luar negara.

Jika sabit kesalahan menyediakan dana bagi manfaat seorang pengganas atau kumpulan pengganas, Imran boleh dipenjara sehingga 10 tahun, dikenakan denda maksimum S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

- CNA/NA/na

Top