Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura di NZ: Serangan sungguh mengejutkan; beberapa rakan belum lagi ditemui

"Saya rasa terkejut sehinggakan tiada perkataan yang boleh saya ungkapkan untuk gambarkan keadaan yang berlaku sekarang."

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: "Saya rasa terkejut sehinggakan tiada perkataan yang boleh saya ungkapkan untuk gambarkan keadaan yang berlaku sekarang."

Itulah rintihan hati Cik Hana Saemon, seorang warga Singapura semasa memberikan reaksinya dalam panggilan telefon melalui Skype pada Jumaat (15 Mac).

Cik Hana tinggal "sangat dekat" dengan Masjid Al Noor di bahagian tengah Christchurch dan juga masjid berhampiran di daerah Linwood yang hanya mengambil masa lima minit untuk memandu ke sana.

TUNANG SAYA INGIN KE MASJID UNTUK MASUK ISLAM

Menurut Cik Hana, ketika jam 8.00 malam (waktu New Zealand), tiada lagi arahan daripada pihak berkuasa yang sebelum itu mengarahkan semua sekolah di kawasan tersebut ditutup.

Cik Hana turut mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa salah seorang rakannya yang mengerjakan solat di masjid tersebut masih belum lagi ditemui.

Menceritakan kejadian tersebut kepada BERITAmediacorp sambil menitiskan air mata, pelajar pos-siswazah itu turut berkongsi bahawa beliau bersyukur kerana beliau dan tunangnya terselamat daripada serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.

Ini lebih-lebih lagi sedang mereka berdua merancang untuk pergi ke masjid berkenaan esok (16 Mac) untuk membuat pendaftaran "masuk Islam" bagi rancangan mereka untuk mendirikan rumahtangga pada pertengahan bulan ini.

"Saya amat bersyukur tunang saya tidak pergi ke masjid pada hari ini, kerana sekiranya beliau pergi ke sana, besar kemungkinan saya akan kehilangannya," kongsi beliau yang sudah menetap di New Zealand sejak tahun 2012.

DUA RAKAN KE MASJID MASIH BELUM DITEMUI

Selain Cik Hana, seorang lagi warga Singapura, Encik Saifudin Abu turut berkongsi pengalamannya dengan BERITAmediacorp.

Walaupun tinggal jauh dari tempat kejadian, namun Encik Saifudin memberitahu pihak kami bahawa kawalan ketat dikuatkuasakan di kawasan kediamannya.

Malah, beliau yang merupakan pengurus Masjid Ad-Deen diarahkan oleh pihak polis "supaya menghentikan segala bentuk aktiviti masjid" demi keselamatan mereka.

Dalam pada itu, Encik Saifudin turut memberitahu BERITAmediacorp bahawa dua orang rakannya yang merupakan warga Malaysia masih belum ditemui selepas mereka bersolat di masjid berkenaan.

"Memang hiba dan terperanjat dengar, kita belum boleh sahkan sama ada terkorban ataupun tidak kerana masih belum dapat menghubunginya, malah isterinya pun masih cuba menghubunginya.

"Jadi kita harapkan dia ada di hospital tapi memang buat waktu ini belum ada khabar berita daripada beliau," kata Encik Saifudin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan