Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura di Indonesia turut rasa gegaran gempa di pulau Jawa

Kesan gempa di Jawa Barat turut dirasakan di ibu kota Jakarta.

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Kesan gempa di Jawa Barat turut dirasakan di ibu kota Jakarta.

Beberapa rakyat Singapura kebetulan sedang berada di beberapa bahagian Jawa Barat.

BERITA Mediacorp sempat menghubungi mereka untuk mendapatkan reaksi masing-masing.

PENGALAMAN GEMPA SEMASA BERCUTI DI JOGJA

Penduduk Hougang, Cik Hazlinah Mohamed Ali kini sedang bercuti di Jogjakarta, 344 kilometer melalui jalan darat dari Cipatujah - pusat berlakunya gempa.

Walaupun jauh, kesan gempa bumi mengejutkannya dari tidur.

"Saya tersedar sebab katil saya bergoyang dengan kuat dan saya ingatkan saya mengigau. Tetapi katil saya bergoyang lagi. Jadi, saya terus bangun dan mencapai apa yang ada – seperti beg tangan saya dan terus lari keluar, turun ke lobi hotel." kata Cik Hazlinah.

"Saya rasa khuatir dan bimbang. Apabila saya turun ke lobi hotel, saya periksa di Google dan baru saya dapat tahu bahawa satu gempa bumi yang besar telah berlaku," tambah beliau.

GEGARAN TURUT DIRASAKAN DI PUNCAK, BANDUNG

Bagi penulis Helmilina Muhamad Som pula yang dalam percutian lima hari ke Puncak dan Bandung bersama keluarga, pengalaman "bak nyawa di hujung tanduk" baginya ini tidak akan mudah dilupakan.

"Waktu itu kita di Bandung. Walaupun daerahnya lebih kurang 130 kilometer jauh jaraknya, kami tetap terasa gegaran bumi itu sendiri. Kita lihat dari luar jendela, ramai juga orang-orang di sana yang sudah keluar di jalan raya dan kita dinasihatkan juga untuk turun ke bawah untuk menunggu arahan selanjutnya daripada pihak hotel.

"Terus terang memang itu agak mengerikan bagi kita yang pertama kali ke sana dan juga merasakan bencana alam sedemikian," kata Cik Helmilina.

"BILIK HOTEL SEPERTI BERPUSING-PUSING"

303 kilometer dari pusat gempa, Cik Sharifa Norliza Syed Abu Bakar dan anaknya, Hamzah sedang bercuti di Jakarta Barat.

Menginap di tingkat 19 sebuah hotel terkemuka dan kerana lokasinya di pinggir zon gempa, sempat membuat beliau panik, kerana fikir sakit Vertigo atau pening kepalanya menyerang semula.

"Rasa seperti bilik sedang berpusing-pusing tetapi apabila dia melihat langsir juga bergoyang-goyang dan badan pun seperti di dalam buai, baru dia menjerit dan saya terperasan bahawa kami sedang mengalami gempa bumi," jelas Cik Sharifa Norliza.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan