Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura bekerjasama dengan penduduk kampung Indonesia tangani jerebu

Sebuah badan amal yang berpangkalan di Singapura sedang bekerjasama dengan para penduduk kampung di Indonesia bagi memulihkan tanah-tanah gambut dalam usaha untuk mengurangkan keadaan jerebu yang menjejas rantau itu setiap tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura bekerjasama dengan penduduk kampung Indonesia tangani jerebu

Kumpulan PM Haze dari S'pura bersama masyarakat Sungai Tohor berusaha memulihara tanah gambut. (Gambar: PM Haze/Vimeo)

Diterbitkan : 19 Jul 2019 09:27AM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 09:36AM

KUALA LUMPUR: Sebuah badan amal yang berpangkalan di Singapura sedang bekerjasama dengan para penduduk kampung di Indonesia bagi memulihkan tanah-tanah gambut dalam usaha untuk mengurangkan keadaan jerebu yang menjejas rantau itu setiap tahun, menurut para penganjur pada Khamis (18 Jul).

Setiap tahun, para petani di Indonesia membakar kawasan hutan dan ladang yang besar untuk memperluaskan kegiatan pertanian. Namun, ia menyebabkan asap jerebu di sebahagian besar Asia Tenggara, termasuk Singapura.

People's Movement to Stop Haze (PM Haze), sebuah kumpulan sokongan di Singapura, baru-baru ini melancarkan sebuah projek pemulihan tanah gambut di sebuah kampung di Indonesia yang menderita akibat kebakaran teruk yang berlaku pada 2014.

"Salah satu perkara yang kami dapati adalah, amat penting untuk menguruskan tanah-tanah gambut dengan baik bagi mencegah keadaan jerebu di rantau ini," kata Pengarah Eksekutif PM Haze, Benjamin Tay, kepada Thomson Reuters Foundation menerusi perbualan telefon.

"Asap jerebu ditiup terutamanya dari kawasan tersebut di Indonesia ke Singapura. Maka itu dengan mencegah kebakaran dan jerebu di rantau tersebut, kami boleh mencegah asap jerebu daripada ditiup ke Singapura," katanya.

Kumpulan Encik Tay sedang menambah baik terusan di sekitar Sungai Tohor, sebuah kampung pertanian tertelak di kawasan pinggir Sumatera dengan sekitar 1,000 penduduk. Ini dilakukan bagi memastikan tanah gambut di kawasan itu sentiasa basah.

Selain itu, PM Haze juga sedang mendidik para penduduk mengenai usaha memulihara tanah gambut, di samping menubuhkan sebuah tapak semaian bagi menanam semula pokok-pokok serta menganjurkan bengkel mengenai cara bagaimana untuk mencegah kebakaran.

Salah satu krisis kebakaran hutan dan tanah gambut paling dahsyat berlaku pada 2015 apabila asap jerebu tebal menyelubungi sebahagian besar Asia Tenggara, menyebabkan kerugian ekonomi bernilai berbilion dolar.

Sekitar 2.6 juta hektar tanah di Indonesia dibakar antara Jun hingga Oktober 2015, sebahagian besarnya di pulau-pulau Sumatera dan Kalimantan, menurut laporan Bank Sedunia 2016.

Malah, satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard pada tahun yang sama mengaitkan keadaan jerebu itu kepada 100,000 kematian pramatang di Indonesia, Malaysia dan Singapura pada 2015.

Encik Tay berkata beliau berharap skim itu akan dapat diperluaskan apabila masyarakat Sungai Tohor dapat menerajui projek berkenaan sendiri. 

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan