Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat M'sia radikal ditangkap di bawah ISA & dihantar pulang, menurut MHA

Seorang lelaki warga Malaysia yang bekerja di Singapura ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dihantar pulang ke Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Feb 2018 05:12PM Dikemas Kini : 10 Feb 2018 03:21PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia yang bekerja di Singapura ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dihantar pulang ke Malaysia.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan medianya hari ini (9 Feb).

Muhammad Nur Hanief bin Abdul Jalil, 33 tahun, bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat kargo udara Singapura. Tugas Hanief membolehkan dirinya memasuki kawasan terlarang Pusat Kargo Udara Changi, yang menyediakan khidmat ke Lapangan Terbang Changi.

Meskipun tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa dia cuba mempengaruhi orang lain untuk menjadi radikal ataupun merancang untuk melancarkan serangan di Singapura, MHA menyatakan ideologi radikal itu menjadikan Hanief sebagai ancaman keselamatan. Dia ditangkap pada bulan Januari lalu dan dihantar pulang ke Malaysia bulan ini.

MENJADI RADIKAL ONLINE

Menurut MHA, siasatan mendedahkan sejak tahun 2008, Hanief mula membaca bahan-bahan online daripada para penceramah luar negara yang berfahaman ekstrim. Ini termasuk Imran Hosein, Zakir Naik dan Anjem Choudary. Dia juga terpengaruh oleh Ismail Menk dan Haslin Baharim yang menyebarkan ajaran memecahbelahkan masyarakat.

Hanief kemudian berasa yakin bahawa dia harus pergi ke Syria atau Palestin untuk menyertai konflik di sana.

Dia bersedia untuk menyertai mana-mana kumpulan militan di sana termasuk ISIS, Tentera Pembebasan Syria atau Hayat Tahrir al-Sham, menurut MHA. Ini kerana dia percaya kumpulan-kumpulan tersebut akan bersatu pada hari kiamat.

Hujung tahun lalu, Hanief memutuskan untuk meneruskan rancangannya untuk ke Syria atau Palestin setelah "mengalami kegagalan" di tempat kerja dan dalam kehidupan peribadinya.

"Dia menghubungi Haslin Baharim dan mendapatkan nasihat sama ada dia akan menjadi seorang syahid sekiranya mati di medan pertempuran di Syria," menurut MHA. "Menjawab soalan itu, Haslin berkata ia adalah dengan izin Tuhan sama ada seseorang itu akan mati syahid dan jawapan tersebut dianggap Hanief sebagai jawapan yang mengiakan (pertanyaannya)."

Sejak tahun 2011, Hanief sudah melakukan pelbagai pekerjaan di Singapura.

Sumber polis Malaysia memberitahu Mediacorp bahawa Hanief kini di bawah tahanan polis dan sedang disiasat di bawah Akta Jenayah Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) 2012. Sumber berasingan pula menyatakan bahawa dia sudah diserahkan pada 2 Februari lalu dan akan ditahan selama 28 hari.

TAMAT TEMPOH PERINTAH SEKATAN 

Dalam pada itu, MHA mengumumkan Perintah Sekatan (RO) yang dikenakan terhadap empat rakyat Singapura yang menjadi radikal secara sendiri dihentikan setelah tempohnya tamat pada Disember lalu.

Keempat-empat lelaki itu adalah: Muhammad Zamri Abdullah, 36 tahun, Zakaria Rosdan, 27 tahun, Muhammad Khairul Sofri Osman, 33 tahun dan anggota Jemaah Islamiyah, Mohd Azmi Ali, 49 tahun.

Menurut MHA, Zamri ditahan di bawah ISA pada bulan Disember 2007. Dia menjadi radikal melalui propaganda radikal dalam beberapa penerbitan, video-video serta internet. Dia juga mencuba untuk menyertai jihad militan luar negara. Dia kemudian dibebaskan daripada tahanan dan diletakkan dibawah RO pada Disember 2011.

Zakaria dan Khairul pula diletakkan di bawah RO tanpa ditahan pada Disember 2013. Mereka menjadi radikal setelah menonton video-video online dan melungsuri lelaman radikal. Mereka terpengaruh untuk menyertai perjuangan ganas di tempat-tempat berkonflik seperti Syria.

Zakaria cuba untuk menghubungi beberapa kumpulan militan asing online untuk menyertai mereka dan memasuki zon-zon konflik. Khairul pula menggalak dan bersubahat dengan Zakaria, menurut MHA.

Bagi Azmi pula, dia melarikan diri dari Singapura pada Disember 2001 di tengah-tengah operasi keselamatan menentang Jemaah Islamiyah.

Dia ditangkap di luar negara dengan bantuan pihak berkuasa serantau. Setelah diusir kembali ke Singapura pada Disember 2009, dia ditahan di bawah ISA. Dia kemudian dibebaskan pada Disember 2013 dan diletakkan di bawah RO.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan