Images
  • indo
    Seramai 127,000 rakyat Indonesia di Singapura dijangka melaksanakan tanggungjawab mereka di Kedutaan Indonesia sehingga pukul 6.00 petang. (Gambar: Kevin Kwang)

Rakyat Indonesia di S'pura keluar mengundi hari ini

SINGAPURA: Rakyat Indonesia di Singapura keluar mengundi pada Ahad (14 Apr) bagi memilih pemimpin seterusnya - iaitu antara Presiden Joko Widodo dan pesaingnya, Prabowo Subianto.

Seramai 127,000 pengundi berdaftar di Singapura diberi tempoh sehingga pukul 6.00 petang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Bagaimanapun, para pegawai menjangkakan lebih ramai akan berbuat demikian hari ini (14 Apr).

Meskipun pilihan raya Indonesia hanya akan berlangsung pada 17 April, rakyat negara itu yang berada di luar negara berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih awal.

Sekitar 450 rakyat Indonesia membantu proses mengundi yang dijalankan di Kedutaan Indonesia di Singapura pagi tadi (14 Apr).


Kedutaan-kedutaan lain yang turut menjalankan proses mengundi termasuk Kedutaan Indonesia di Vietnam, Malaysia dan Filipina.

Sehingga pukul 9.00 pagi tadi (14 Apr), sekitar 4,000 rakyat Indonesia sudahpun mengundi.

Para pengundi rakyat Indonesia di Singapura bersama dengan sekitar 192 juta pengundi dari 34 wilayah di merata Indonesia akan mengundi untuk memilih Presiden dan Naib Presiden yang kelapan.

Sementara itu pada Rabu (17 Apr), lebih 190 juta rakyat Indonesia akan memilih presiden seterusnya serta beribu-ribu pegawai tempatan.

Tempoh bertenang selama tiga hari kini dikuatkuasakan sebelum rakyat Indonesia keluar mengundi pada 17 April.

Hasil tinjauan pendapat terbaru menunjukkan bahawa Presiden Joko Widodo mendahului pesaingnya, Prabowo Subianto, seorang mantan jeneral, dengan kelebihan undi dua angka.

Encik Jokowi dan Encik Prabowo juga bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2014, dengan Encik Jokowi menewaskan mantan jeneral tentera itu. 

- CNA/Agensi berita/AI/ai

Top