Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat Indonesia di S'pura bersemangat, positif terhadap kewibawaan Presiden seterusnya

Walaupun terlantar di Hospital Mount Elizabeth Novena sejak sekitar sebulan lalu, warga Indonesia Bigman Sirait bertegas mahu keluar mengundi hari ini (14 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun terlantar di Hospital Mount Elizabeth Novena sejak sekitar sebulan lalu, warga Indonesia Bigman Sirait bertegas mahu keluar mengundi hari ini (14 Apr).

Ini meskipun paderi yang mengalami serangan jantung sebelum ini tidak dibenarkan keluar dari ambulans dan hanya dibenarkan mengundi dari dalam kenderaan kecemasan itu.

Beliau sebenarnya bercadang untuk datang ke Singapura bagi memeriksa bateri jantungnya, sebaliknya dinasihati supaya menukar pam jantungnya.

Yang jelas, semangat patriotik dan kesetiaan Encik Bigman terhadap tanah air tercinta tidak dapat disangkal lagi.

"Saya selalu bertanggungjawab sebagai anak bangsa. Memilih pemimpin yang benar, salah satu kewajipan yang tidak boleh dihindari.

"Semangat tidak ada yang luka kerana perjuangan memerlukan pengorbanan," kata beliau dalam sebuah video yang dimuatnaik di Facebook.

SISTEM PENGUNDIAN DI KEDUTAAN INDONESIA "MEMUASKAN"

Encik Bigman salah seorang daripada 127,000 warga Indonesia yang layak mengundi di Kedutaan Indonesia di Chatsworth Road hari ini.

Yang pasti, sistem pengundian di kedutaan itu disifatkan memuaskan dan cuaca terik juga tidak melenturkan semangat mereka untuk memilih bagi Pilihan Raya Indonesia yang terbesar dalam sejarah.

Warga Indonesia 38 tahun, Cik Salimah berkata: "Pada tahun ini sangat memuaskan dari segi penempatan ataupun pembahagian ataupun pengaturan tempat semuanya, kami sangat bangga dan puas."

LAHIR HARAPAN EKONOMI LEBIH MAJU

Meskipun ingin melihat lebih banyak kemajuan di Indonesia seperti pembangunan yang meluas, para pengundi yakin presiden seterusnya bakal memikul tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Encik Albinus, 60, berkata: "Kami mengharapkan Presiden yang terpilih ini bisa membawa bangsa kita lebih damai, ekonomi makin maju."

"Siapa pun presiden yang terpilih, tentunya akan membawa bangsa Indonesia lebih baik lagi dan maju di kancah internasional," ujar pemandu dron 20 tahun, Encik Tengku Muhammad Furkan.

SUSILO BAMBANG YUDHOYONO TURUT UNDI DI S'PURA

Sehubungan itu, mantan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang berada di Singapura atas lawatan peribadi turut mengundi di Kedutaan Indonesia hari ini.

Akur akan persaingan sengit tahun ini, Encik Yudhoyono bagaimanapun melahirkan harapan agar kerukunan dan ketertiban mengundi tetap terpelihara.

"Gunakan hak pilihnya dengan ikhlas dengan fikiran yang jernih, hati nurani, tidak perlu takut dipaksa oleh sesiapa pun kerana masa depan Indonesia milik rakyat," nasihat mantan presiden tersebut.

Lebih 190 juta warga Indonesia di negara tersebut akan keluar mengundi pada 17 April ini bagi memilih presiden dan wakil rakyat bagi penggal lima tahun akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan