Images
  • saidi10
    Mantan AP Wan Hussin Zoohri (kiri), Dr Maliki Osman dan Mantan Menteri Negara Kanan Zainul Abidin Rasheed.

Rakan-rakan seperjuangan hambur sanjungan kepada mantan AP Kaki Bukit Allahyarham Saidi Shariff

SINGAPURA: Rakan-rakan seperjuangan mantan Anggota Parlimen bagi kawasan undi Kaki Bukit Allahyarham Saidi Shariff memberikan penghormatan terakhir dan sanjungan tinggi di atas sumbangan beliau kepada negara.

Allahyarham, yang pernah menjadi Anggota Parlimen Kaki Bukit (1980-1984) bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP), meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung, pada usia 79 tahun.


Antara yang datang menziarah jenazahnya di Choa Chu Kang Central termasuklah lima AP dan bekas AP iaitu Wan Hussin Hj Zoohri, Zainul Abidin Rasheed, Ibrahim Othman, Ahmad Khalis Abdul Ghani dan Dr Mohd Maliki Osman.

WAN HUSSIN: ALLAHYARHAM AP BERDEDIKASI DAN PERAMAH

AP yang sezaman dan seangkatan dengan Allahyarham dalam politik khususnya ialah Wan Hussin Zoohri. Beliau berkongsi bahawa Allahyarham juga adalah rakan sekolahnya di Raffles Institution dan merupakan seorang teman karib yang ringan tangan dan berjiwa masyarakat.


"Apabila dia masuk politik, kita sama-sama seangkatan seperjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya untuk masyarakat Melayu.

"Beliau Anggota Parlimen yang berdedikasi, memberi khidmat yang baik sekali di kawasan undi beliau dan beliau adalah seorang yang agak senang bergaul, peramah dan suka membantu orang," ujar Wan Hussin.

DR MALIKI: BERJASA KEPADA MASYARAKAT & NEGARA

Allahyarham juga aktif dalam Persatuan Rakyat dan dalam bidang latihan kepimpinan, selain merupakan antara anggota pengasas Yayasan MENDAKI.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman turut hadir untuk memberi penghormatan beliau yang terakhir, memuji peranan penting Allahyarham dalam badan bantu diri Singapura yang pertama itu.


"MENDAKI hari ini kita lihat telah banyak berkembang, kerana telah ditubuhkan oleh mereka yang rasa bagaimana pentingnya kita mengadakan sebuah pertubuhan untuk berbakti dan menabur kepada masyarakat. Kami harap beliau akan dapat diingati dan dihargai oleh masyarakat muda kita.

"Hari ini kita kehilangan seorang mantan Anggota Parlimen kita yang telah banyak berjasa kepada masyarakat dan negara kita," kata Dr Maliki.

PENUH SEMANGAT BANGUN DIRI

Allahyarham Saidi adalah antara 25 AP PAP yang diberi sanjungan dalam buku autobiografi mengenai mantan AP-AP PAP berjudul We Also Served: Reflections of Singapore's former PAP MPs (Kami Juga Berkhidmat: Renungan mantan AP PAP Singapura), yang merakam kisah dan pengalaman mereka berkhidmat kepada negara sejak sebelum kemerdekaan. 

Ketika diminta pandangan beliau tentang Allahyarham, Encik Zainul Abidin Rasheed memulakan dengan berkata bahawa "banyak" sebenarnya sumbangan bekas AP Kaki Bukit itu.


Sebagai pemimpin masyarakat, Allahyarham sememangnya dikenali sebagai penceramah dan jurulatih kepimpinan di institut milik Persatuan Rakyat yang kini ialah Institut Latihan Kepimpinan Masyarakat (NACLI).

Encik Zainul berkongsi kenangan beliau mengenai Allahyarham: "Saya kenal Almarhum sejak saya di bangku sekolah lagi kerana beliau sudah berkecimpung dalam bidang latihan kepimpinan."

"Jadi saya secara peribadi telah banyak belajar daripada Almarhum, kerana Almarhum penuh dengan semangat yang ditanamkan dengan para belia masa itu, semangat untuk menyumbang kepada masyarakat, semangat untuk membangun diri," tambah Encik Zainul, yang juga mantan Menteri Negara Kanan.

Allahyarham Saidi meninggalkan tiga orang anak dan tujuh cucu.


Semestinya antara anggota keluarganya yang paling terasa dengan pemergiannya ialah anak keduanya, Cik Sumiyati Saidi, 55 tahun.

Cik Sumiyati berkongsi bahawa beliau banyak berbincang tentang isu-isu politik dan sosial dengan ayahnya itu semasa beliau masih hidup.

"Kami duduk berdualah selalu tengok berita dan berbincang tentang politik. Kalau tak tengok TV, nanti dia ada mengaji dan tulis ayat-ayat Quran," kongsi Cik Sumiyati, juga menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang penyayang.


Jenazah Allahyarham Saidi disolatkan di Masjid Al-Khair dan selamat dikebumikan selepas solat Zuhur tadi. 

- BERITAmediacorp/im

Top