Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakaman baru Majulah Singapura diberi sentuhan 'lebih muda', akustik lebih baik

Lagu kebangsaan Singapura yang dirakam semula, dimainkan buat pertama kalinya hari ini (3 Dis) di acara memperingati hari lambang-lambang negara yang pertama kali didedahkan pada 1959.  

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Dec 2019 09:12PM Dikemas Kini : 03 Dec 2019 10:16PM

SINGAPURA: Lagu kebangsaan Singapura yang dirakam semula dimainkan buat pertama kalinya hari ini (3 Dis) di acara memperingati hari lambang-lambang negara yang pertama kali didedahkan pada 1959.

Lambang-lambang negara itu termasuk bendera negara dan jata negara.

Genap 60 tahun selepas pertama kali didedahkan, acara memperingati lambang-lambang negara dipimpin veteran angkatan bersenjata dari generasi perintis.

Mereka diringi orang ramai dari pelbagai latar belakang seperti atlit negara serta pelajar sekolah menengah.

AKUSTIK LEBIH BAIK, TAMPILKAN SUARA MUDA

Lembaga Warisan Negara (NHB) menyatakan lambang-lambang tersebut menandakan permulaan baru bagi rakyat Singapura, di mana kaum dan agama yang berbeza bersatu di bawah satu bendera dan hala tuju.

Versi terbaru lagu Majulah Singapura pula dirakam di Dewan Konsert Esplanade oleh Orkestra Simfoni Singapura.

Lirik asal dan susunan lagu dikekalkan namun ia mempunyai akustik yang lebih baik berbanding rakaman tahun 2001.

Ia diberi sentuhan 'lebih muda' dengan alunan suara golongan muda dari kumpulan padu suara kanak-kanak dan Simfoni Belia Singapura yang terlibat buat pertama kalinya.

Rakaman semula itu boleh didapatkan secara online bagi mereka yang terlepas mendengarnya.

LAMBANG NEGARA AKAN TERUS SATUKAN RAKYAT

Dalam catatan Facebooknya, Presiden Halimah Yacob berkata beliau berharap lambang-lambang negara akan terus menyatukan rakyat Singapura tidak kira kaum dan agama, dan menyemai sifat bangga, taat setia serta identiti negara.

Tambah beliau, hari memperingati lambang-lambang negara Yang asal mempunyai signifikan yang istimewa bagi beliau kerana ia membina asas bagi Pejabat Presiden apabila Singapura mencapai kemerdekaannya.

Dalam catatan beliau di Facebook pula, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berharap rakaman baru Majulah Singapura akan dimainkan di lebih banyak acara Perbarisan Hari Kebangsaan dan pertandingan sukan antarabangsa pada masa hadapan. 

Sumber : CNA/NF/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan