Images

Rahimah Rahim terima Pingat Budaya - pengiktirafan tertinggi negara bagi seni, budaya

SINGAPURA: Penyanyi Rahimah Rahim hari ini (24 Nov) mendapat anugerah tertinggi pernah diterimanya selaku anak seni, iaitu anugerah Pingat Budaya.

Pingat Budaya adalah pengiktirafan tertinggi dikeluarkan negara ini bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang seseorang aktivis, individu atau tokoh dalam landskap seni dan budaya tempatan. Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Singapura.

Rahimah Rahim, 66 tahun, hanya merupakan penyanyi Melayu kedua setakat ini untuk menerima Pingat Budaya sejak 1979. Penyanyi Melayu pertama menerimanya ialah Nona Asiah pada 2016.

Setiap penerima Pingat Budaya akan menerima geran S$80,000 bagi menjalankan projek-projek seninya.

SUMBANGAN RAHIMAH RAHIM

Bermula sebagai pelakon cilik Cathay Keris pada tahun 1961 dalam filem Korban Kasih, penyanyi dan penghibur tersohor itu kemudian menceburi pula bidang seni suara pada tahun 1969.

Sebagai penyanyi, versatiliti Rahimah Rahim dalam dunia muzik tidak dapat disangkal – beliau boleh menyanyi pop Melayu, jaz hingga ke Cantopop.


(Gambar: NAC)

50 tahun kemudian, namanya masih tetap disebut. Lagunya tetap diminati. Auranya masih dirasai. Dirinya terus mengisi pentas mahupun televisyen.

Beliau yang kini mesra dengan panggilan Kak Gerl antara lain dilihat semasa acara persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan dan iklan-iklan pemerintah tahun ini.

Hari ini beliau naik 'istana' bertemu Presiden Halimah Yacob bagi menerima Pingat Budaya demi mengakui usahanya selama lebih setengah abad memartabatkan seni dan budaya di negara ini.

Namun ini sebenarnya sesuatu yang tidak disangka-sangka akan jatuh ke ribanya, kata Rahimah Rahim.

“(Saya) terkejut dengan pengiktirafan ini, sebab ini adalah satu nominasi yang mereka beri kepercayaan kepada saya. Saya rasa amat bersyukur kerana ini adalah penyempurnaan kerja seni hiburan saya,” kata pelantun lagu Gadis dan Bunga ini kepada BERITAmediacorp.

8 ANUGERAH DIBERIKAN SECARA KESELURUHAN

Tahun ini hanya dua orang menerima Pingat Budaya. Selain Rahimah, seorang lagi penerimanya ialah novelis mapan Chia Joo Ming. Acara penyampaian anugerah berlangsung di Istana Presiden hari ini.

Dalam acara yang sama, enam penggiat seni di bawah usia 35 tahun turut diberikan Anugerah Seniman Muda. Mereka terdiri daripada penyanyi dan penggubah lagu Charlie Lim, seniman tari Norhaizad Adam, pemuzik Carnatic Chitra Poornima Sathish, penggiat seni teater Han Xuemei, penulis dan pengarah Yeo Siew Hua serta seniman sekitaran dan pendidik Zen Teh Shi Wei.

Keenam-enam mereka pula layak menerima geran S$20,000 yang menyokong pembangunan artistik mereka dalam masa dua tahun selepas mereka menerima anugerah tersebut.

Dengan penganugerahan Pingat Budaya hari ini, sejumlah 130 penggiat dan tokoh seni seperti muzik, tarian, sastera, tarian, lukisan, fotografi, teater dan filem sudah menerima anugerah berprestij itu sejak 42 tahn lalu.

LEBIH 50 TAHUN DALAM BIDANG SENI NYANYIAN

Yang jelas, bagi Rahimah Rahim, kerjaya muziknya yang begitu panjang menyaksikan pelbagai arus perubahan dilaluinya. Beliau akur sudah banyak wujud perbezaan muzik dan bunyi kerana muzik sekarang ini bergantung kepada teknologi dan dunia digital.

Namun demikian, penerima Anugerah Perdana Emas oleh Mediacorp Suria pada tahun 2017 ini tetap kekal relevan walaupun ramai anak seni muda muncul bak cendawan tumbuh.

Jadi apa rahsia beliau dapat terus kekal bertahan?

“Untuk kekal sekarang memang saya tengok rata-rata bukan senang, memang susah sebab banyak artis, tapi kalau kita boleh buat sesuatu yang boleh menarik perhatian, yang dapat menjadikan suatu daya tarikan, supaya mereka boleh terima ataupun sesuatu yang mereka dapati baru dan mereka senang mendengar atau menonton, itu sudah bagus.


(Gambar: Rahimah Rahim/Facebook)

“Jadi saya pada usia saya, saya masih belajar. Dalam keadaan pandemik ini… saya belajar main piano. Saya tak pernah dalam seumur hidup sebagai seorang penyanyi dan penghibur, saya tak pernah pegang alat muzik, bermakna saya tak main gitar atau apa.

"Saya dengar menerusi telinga saya, alat muzik saya adalah telinga dan pendengaran saya,” kongsi Rahimah, yang mengeluarkan lagu pertamanya berjudul Mana Ibumu pada 1971 di bawah bimbingan bapa saudaranya penyanyi legenda Ahmad Daud.

Meskipun “belum tahu” sama ada akan muncul membuat persembahan sambil bermain piano, penghibur mapan ini yang mempunyai 12 album solo setakat ini jelas gemarkan cabaran dan tidak mudah berputus asa.

Beliau berkongsi betapa beliau tetap tekun melakukan ‘homework’ setiap kali diberi tugasan dan tanggungjawab sebelum membuat persembahan.

“Kalau ada satu produksi itu beri saya tanggungjawab… saya akan cuba dan saya akan teliti dulu, jadi macam Bahasa Mandarin yang pernah saya nyanyi di televisyen, itu adalah cabaran yang besar bagi saya sebab (ia) bahasa lain. Jadi saya akan cuba yang terbaik.

“Mula-mula saya bilang susah, memang susah, tapi apa yang perlu saya buat, saya perlu buat ‘homework’ saya. Kita kena fokus sebab kalau diberi satu kerja atau kepercayaan kepada diri kita, kita harus melakukan yang terbaik,” jelas beliau, yang pernah memenangi pertandingan antarabangsa - Kimi Koso Star di Tokyo pada 1974.

Yang jelas, Rahimah banyak mengharumkan nama Singapura di mana beliau juga mewakili Singapura di pentas antarabangsa seperti di Pesta Lagu Sedunia pada tahun 1987, membawakan lagu pelbagai bahasa di samping Miami Sound Machine, Alan Tam, Leslie Chung dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.


(Gambar: Rahimah Rahim/Facebook)

Ibu dua anak perempuan ini juga pernah bergabung dengan Orkestra Simfoni Kebudayaan Asia dan Persatuan Jaz Singapura.

Malah empat tahun lalu, Rahimah juga dengan rasminya dinobatkan ke dalam senarai Dewan Wanita Masyhur Singapura atas sumbangannya kepada arena seni dan hiburan tempatan.

BERMINAT BERGABUNG, MEMBANTU PENYANYI MUDA

Ditanya bagaimana beliau mahu menggunakan geran S$80,000 yang diperuntukkan kepadanya oleh Majis Seni Kebangsaan (NAC) itu, Rahimah menjelaskan tumpuannya adalah untuk membantu dan membuka jalan bagi penyanyi-penyanyi muda.

“Mungkin saya akan buat album untuk permulaan dengan anak-anak seni. Jadi dari situ mereka boleh terus jalan tapi maksud saya itu jangan setengah jalan.

"Sebab tiada apa yang mudah, anda harus bermula dari bawah… Jadi kita harus bekerja keras dan selalu bersifat rendah diri. Kita belajar dan sentiasa belajar, sebab ilmu itu sampai tutup mata pun tak habis,” ujar beliau, yang kini sudahpun menjadi penyampai atau deejay online bersama Vintage Radio SG.


(Gambar: Rahimah Rahim/Facebook)

Malah beliau juga berkongsi hasrat mahu berkolaborasi dan membuat rakaman dengan anak-anak muda bagi meneruskan kerjaya seni dalam dunia muzik moden. Ini kerana “fikiran mereka jauh dan mereka ada idea mereka sendiri”.

“Sekarang dah lain, pasarannya dah lain. Jadi kita kena ikut pada rentak zaman apa yang ada sekarang. Sebab itulah insya-Allah kalau ada usia, tapi saya sendiri fikir, kalau boleh nak anak-anak muda dan pelapis muda, kalau boleh… lagu lama yang pernah saya nyanyi, mereka membaharukan dan dapat didengar semula ataupun mungkin saya boleh duet, di antaranya.

“Saya suka nak berduet kalau boleh dengan artis legenda Singapura, dengan artis muda Singapura jadi dia ada keseimbangan,” jelas beliau, yang meluahkan rasa kagum terhadap dua penyanyi muda iaitu Maya Raisha Zainudin dan Syah Ridzuan.

NASIHAT RAHIMAH RAHIM

Rahimah juga menasihati generasi muda yang gemar berkarya dalam seni suara supaya tidak berputus asa kalau kita gagal.

“Kegagalan itu mengajar kita. Kalau kita gagal, itu akan membuat kita perbaiki apa yang kita dah buat kesilapan,” kata Rahimah, yang kini juga memberi bimbingan vokal di bawah program WINGS.

Beliau juga berharap pertubuhan-pertubuhan tempatan akan memberi sokongan kukuh kepada anak-anak muda tersebut supaya mereka dapat meneruskan seni mereka dan menempa nama di luar negara.

Di sebalik tawa dan keceriaan yang sering dipaparkan penghibur berpengalaman ini, Rahimah Rahim jelas mempunyai misi serius supaya kerja seninya terus dikenang.

“Legasi saya adalah nama saya – Rahimah Rahim. Kalau boleh, kalau saya dah tak ada, nama Rahimah Rahim (terus diingati sebagai) seorang penghibur dan penyanyi.” 

- BERITAmediacorp/im

Top