Images
  • rahayu rahmat
    Cik Rahayu tidak takut untuk bercerita tentang pengalaman hidupnya. (Gambar: Rahayu Rahmat)

Rahayu Rahmat - Bekas pekerja seks, penghidap HIV yang kini pejuang golongan tersisih

BERITAMediacorp: Hari Wanita Antarabangsa bakal diraikan seluruh dunia pada Khamis nanti (8 Mac) dengan pelbagai kemajuan dan pencapaian wanita di serata dunia dijulang.

Dalam laporan berikut ini, BERITAMediacorp meninjau kisah perjuangan wanita - iaitu kisah Cik Rahayu Rahmat, seorang penghidap HIV yang tidak menyerah kepada nasib.

Tetapi sebaliknya giat berjuang untuk membela golongan yang tersisih daripada masyarakat.

DULU DIJUAL SUAMI JADI PEKERJA SEKS

Sekilas pandang, Cik Rahayu Rahmat seperti seorang wanita biasa.

Tetapi wanita yang bergelar isteri dan ibu kepada empat orang anak ini tidak segan untuk membuat pengakuan di hadapan kamera televisyen.

"14 tahun yang lalu, saya pernah dipaksa menjadi pekerja seks oleh bekas suami saya. Dan saya juga positif HIV," isytihar beliau dengan berani.


Cik Rahayu dalam satu acara bersama para pelajar. (Gambar-gambar: Rahayu Rahmat)

Selama lima tahun beliau terperangkap dalam kancah pelacuran tersebut, sebelum akhirnya berjaya membebaskan dirinya pada tahun 2009.

Kini, Cik Rahayu seorang pejuang dan aktivis yang berusaha menyelamatkan mereka yang bernasib malang daripada lingkaran maksiat - usaha yang dilakukannya sejak 2011.

Tahun lalu, beliau yang merupakan seorang warga Malaysia, dan suami keduanya, membuka Rumah Kebajikan Sinar Sofia dengan tujuan membantu pekerja seks, penagih dadah serta penghidap HIV yang ingin mencari hidup yang baru. 


Rumah Kebajikan Sinar Sofia.

Rumah Kebajikan Sinar Sofia yang terletak di Johor Bahru kini menjadi tempat di mana tiga wanita dan seorang kanak-kanak berlindung.

INGIN DAMPINGI WANITA YANG MEMERLUKAN KASIH SAYANG

Malah, seorang daripada mereka dijangka bersalin bulan ini.

"Sebenarnya, mereka memerlukan kasih sayang. Sebab biasanya kita disisihkan keluarga dan akan rasa takut. Mereka rasa bahawa tidak ada orang yang menjaga mereka," luah Cik Rahayu.


Cik Rahayu juga aktif membantu mereka yang memerlukan. 

"Kini, sayalah kakak dan sayalah ibu mereka. Kadang-kadang, di tengah-tengah malam, mereka menangis. Saya melakukan segalanya untuk mereka," cerita beliau.

Cik Rahayu terlalu kenal dengan keadaan terdesak wanita-wanita di bawah jagaannya, kerana beliau sendiri pernah terperangkap dalam penderitaan yang sama.

MASIH SUKAR DAPAT BANTUAN TAMBAHAN

Beliau dijual kepada rumah pelacuran oleh bekas suaminya sendiri untuk membayar hutang dadah. Ketika itu, beliau terpaksa melakukan kerja seks demi menyara hidup empat anak kecilnya.

Kini, beliau ingin menjadi suri teladan dan memperkasa mereka yang mungkin sudah kehilangan harapan.

"Saya tidak malu untuk ceritakan kepada masyarakat tentang siapa diri saya. Kekuatan seperti itulah yang saya hendak beri kepada mereka juga. Jika saya boleh melakukannya anda pun boleh," luah beliau.

Bagaimanapun, beliau masih berdepan dengan pelbagai cabaran.

Stigma terhadap pekerjaan seks dan HIV sukar untuk dibanteras. Malah, ramai yang menyoal keputusannya memilih dua perkara 'larangan' ini sebagai tunggak perjuangannya.

Tambahan pula, badan-badan keagamaan masih sukar memberikan sokongan dan sumber pembiayaan Rumah Kebajikan Sinar Sofia hanya datang dari sumbangan rakan-rakannya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh mengunjungi laman web rasmi Sinar Sofia (https://sinarsofiashelter.com/) atau laman Facebook (https://www.facebook.com/sinarsofia2011/) untuk maklumat lanjut.

- BERITAMediacorp/aq

Top