Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rahayu Mahzam gesa masyarakat teruskan amalan makan sihat selepas Ramadan

Kadar kencing manis dalam kalangan masyarakat Melayu meningkat hampir 3 peratusan mata kepada 14.4 peratus tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kadar kencing manis dalam kalangan masyarakat Melayu meningkat hampir 3 peratusan mata kepada 14.4 peratus tahun lalu.

Kadar itu adalah tertinggi berbanding 14.2 peratus bagi kaum India dan 8.2 peratus bagi kaum Cina.

Lantaran itu, Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam menggesa masyarakat agar terus mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran kempen kesihatan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk bulan Ramadan dan Syawal pada Ahad (11 Apr) di restoran The Malayan Council.

'KITA DAH CUKUP MANIS'

Dengan menjelangnya bulan Ramadan dan Syawal yang menyusul ramai yang mungkin akan sibuk menyiapkan pelbagai juadah untuk keluarga dan tetamu.

Maka itu resipi lebih sihat dikongsi semasa pelancaran kempen Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) oleh Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam.

Satu daripadanya adalah minuman 'mocktail' tanpa gula.

Kempen yang menyebarkan mesej 'Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?' bertujuan menggalak masyarakat Melayu untuk mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang Ramadan dan sambutan Hari Raya nanti.

Pada tahun lepas, 14.4 peratus masyarakat Melayu menghidapi penyakit kencing manis berbanding 11.6 peratus pada tahun 2017, iaitu peningkatan hampir 3 peratusan mata.

Lantaran isu Cik Rahayu menggesa masyarakat untuk memandang serius kesihatan mereka sambil terus mengamalkan pemakanan sihat.

Cik Rahayu berkata: "Ini adalah penting kerana ini bukan statistik sahaja tetapi ia menjejas kehidupan, individu, keluarga, kerana apabila kena penyakit, kos kehidupan kita akan terjejas, ini bukan sesuatu yang kita mahukan untuk masyarakat kita, jadi saya harap dengan ada kempen sebegini dan kesedaran, kita akan lebih ketahui dan lebih terasa kepentingannya untuk melakukan sesuatu."

Cik Rahayu juga berharap masyarakat akan terus gigih mengurangkan tabiat kurang sihat untuk jangka panjang.

"Saya rasa ini perkara yang dapat mendorong masyarakat tetapi usahanya perlu datang daripada individu dan keluarga sendiri. Saya harap ini juga akan menjadi sesuatu untuk dibawa keluar daripada waktu Ramadan dan Hari Raya," tambah Cik Rahayu.

Kempen yang dilancarkan itu antara lain akan merangkumi beberapa inisiatif gaya hidup sihat termasuk perkongsian panduan untuk mengurangkan tabiat merokok.

HPB juga akan bekerjasama dengan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan M³@Bandar untuk mengagihkan pek-pek runcit sihat kepada sekitar 5,500 isi rumah.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan