Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rahayu Mahzam cerita mengapa beliau menangis dengar komen pasal kanak-kanak...

Selepas mendengar komen pemanggil berkenaan, Cik Rahayu merasakan kanak-kanak seperti anaknya "akan sering dianggap sebagai satu beban, dan mereka perlu diletakkan di tempat-tempat yang selayaknya." 

Anggaran Waktu Membaca:
Rahayu Mahzam cerita mengapa beliau menangis dengar komen pasal kanak-kanak...

Bakal Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (MOH), Cik Rahayu Mahzam.

Diterbitkan : 11 Jul 2018 11:40PM Dikemas Kini : 12 Jul 2018 12:07AM

SINGAPURA: Pelbagai usaha dijalankan untuk membangunkan sebuah masyarakat yang inklusif, namun "banyak lagi yang perlu dilakukan", kata Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam hari ini (11 Jul).

"Masyarakat belum lagi boleh menerima seseorang yang kurang upaya sebagai seorang warga yang sama nilainya dalam masyarakat," kata Cik Rahayu sambil merujuk kepada satu program radio yang pernah beliau dengar sebelum ini.

Seorang pemanggil program radio tersebut berpendapat bahawa ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas enggan menerima hakikat dan memilih untuk percaya bahawa anak-anak mereka normal, jadi mereka berkeras anak-anak mereka memasuki sekolah-sekolah biasa walhal mereka seharusnya didaftarkan ke dalam sekolah lain.

Cik Rahayu sebelum ini mendedahkan bahawa anaknya, Ayden, yang dilahirkan pada April 2017, mengalami Sindrom Down.

RAHAYU NANGIS DENGAR KOMEN PEMANGGIL

Selepas mendengar komen pemanggil berkenaan, Cik Rahayu merasakan kanak-kanak seperti anaknya "akan sering dianggap sebagai satu beban, dan mereka perlu diletakkan di tempat-tempat yang selayaknya."

"Sejujurnya, saya memahami perspektif pemanggil itu," kata Cik Rahayu. "Para guru berdepan dengan pelbagai cabaran dalam latar sedemikian dan kami perlu tangani cabaran-cabaran ini."

"Namun, jalan penyelesaian pemanggil itu menyinggung saya sebagai seorang ibu. Nada dan cara beliau mengatakan pandangannya jelas menggambarkan perasaannya terhadap kanak-kanak yang istimewa.

"Saya rasakan ia bagai satu penolakan," katanya.

"Saya menangis pada petang itu," tambah Cik Rahayu.

Itulah yang dikongsi Cik Rahayu dalam satu usul bertajuk "Pendidikan bagi Masa Depan Kami", yang digerakkan oleh lima Anggota Parlimen Dilantik. Usulan itu menggesa Pemerintah supaya berkerjasama dengan rakyat bagi memastikan pembelajaran sepanjang hayat di negara ini sesuatu yang inklusif and dapat diakses semua anggota masyarakat.

"Saya percaya bahawa kami boleh membina sistem pendidikan untuk mengubah persepsi rakyat; menumpukan perhatian kepada keistimewaan mereka dan menghargai mereka seperti anak-anak lain," kata Cik Rahayu.

Dewan Parlimen setuju dengan cadangan Cik Rahayu supaya usul berkenaan turut menyemat kata-kata ini:

"Dengan membina sistem pendidikan yang memberi setiap pelajar sokongan terbaik dan peluang untuk cemerlang, mengenal pasti keupayaan dan bakat dalam setiap pelajar, dan mengatur langkah terbaik yang bersesuaian dengan kekuatan dan minat masing-masing, membolehkan rakyat Singapura untuk mempertingkat kehidupan kami, menumpukan perhatian khas kepada para pelajar daripada keluarga bermasalah, dan membina platform untuk menyatukan generasi muda kita, bagi membina negara yang inklusif dan bersatu."

PENDIDIKAN LEBIH INKLUSIF BAWA MANFAAT UNTUK SEMUA

Meskipun masyarakat bersikap lebih terbuka kepada kanak-kanak berkeperluan khas, beliau menambah, "pada dasarnya" masyarakat belum lagi sepenuhnya selesa dengan kanak-kanak ini.

Menukil data daripada satu tinjauan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2015, Cik Rahayu menarik perhatian bahawa orang awam masih mempunyai pandangan kurang baik terhadap golongan istimewa di negara ini. Masyarakat juga, kata beliau, mempunyai sikap kurang baik terhadap mereka yang kurang upaya intelek dan autistik.

Cik Rahayu menekankan bahawa pendidikan yang lebih inklusif akan membawa banyak manfaat kepada Singapura secara keseluruhannya. Menerima mereka yang berkeperluan khas dalam masyarakat akan membuka peluang untuk memupuk sikap penyayang dalam negara ini.

Ada juga, katanya, nilai ekonomi dalam melengkapi kanak-kanak istimewa ini dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk berdikari. Untuk itu, beliau mengemukakan beberapa saranan untuk mempertingkat lagi landskap pendidikan.

Ini termasuk sistem pendidikan dan latar persekolahan bersepadu, di mana semua kanak-kanak boleh bermain bersama dalam satu ruang yang sama meski pendekatan terhadap mereka berlainan. Usaha juga perlu dipergiat bagi melengkapi guru-guru pendidikan khas dengan kemahiran dan peluang untuk memanjat tangga kerjaya.

Cik Rahayu turut menyarankan supaya pentadbiran kurikulum sekolah disemak bagi sekolah-sekolah biasa dan sekolah-sekolah khas.  

Sumber : CNA/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan